Petaling Jaya: Jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menegaskan misi untuk memulihkan reputasi Harimau Malaya lebih mustahak daripada mengejar kedudukan selaku pengendali tetap pasukan senior itu.

Beliau kini masih memiliki kontrak selaku pengendali Harimau Muda A hingga hujung tahun ini dan ada pihak menganggap ini peluang terbaik buat bekas pemain kebangsaan itu membuktikan kemampuan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Dollah Salleh Jumaat lalu secara tetap.

Namun bagi Kim Swee, beliau tidak mahu memikirkan sebarang keputusan yang akan diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika keajaiban berlaku pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, malam esok.

“Saya tak mahu fikir mengenai apa yang akan berlaku selepas ini. Tiada pemain atau jurulatih yang inginkan keputusan seperti itu (kalah 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu), jadi apabila ini berlaku saya diarahkan (ambil tugas Dollah) dan sebelum ini saya pernah melatih pasukan kebangsaan walaupun seketika.

“Saya percaya pemain boleh bangkit semula, saya harap dengan keputusan saya mengambil alih sementara skuad kebangsaan dapat memperbaiki sedikit atau mengembalikan keyakinan pemain dan penyokong kita,” katanya semalam.

Ini bukan kali pertama Kim Swee, 44, menggalas tugas selaku pengendali sementara apabila pernah memikul tugas itu ketika FAM masih mencari jurulatih sebaik kontrak Datuk K Rajagobal berakhir pada Disember 2013.

Sepanjang Harimau Malaya dibimbing pengendali dari Melaka itu, Malaysia seri dua kali menentang Filipina pada aksi persahabatan dan menang 2-1 ke atas Yaman dengan 10 pemain pada kelayakan Piala Asia 2015.

Mengulas mengenai perlawanan dengan pasukan di ranking ke-93 dunia Arab Saudi, Kim Swee mengharapkan aksi lebih berdisiplin daripada anak buahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 8:50 AM