CHIN Chai (kiri) bersama Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (dua dari kiri) ketika  perjumpaan dengan pemain, semalam.
CHIN Chai (kiri) bersama Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (dua dari kiri) ketika perjumpaan dengan pemain, semalam.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Untungnya menjadi pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tambahan pula selepas badan induk berkenaan memperkenalkan skim baru pembayaran elaun kepada pemain bermula bulan ini.

Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai berkata, mereka sudah memberikan surat tawaran kepada semua pemain dengan menyenaraikan skim bayaran elaun baru, hak pemain dan keperluan yang harus disediakan BAM.

”Hari ini (semalam) kami menerangkan kepada pemain mengenai elaun bulanan, bonus ranking dan juga bonus kejohanan. Kami juga menjelaskan apa yang harus dilakukan BAM termasuk menyediakan lokasi latihan, menghantar ke kejohanan dan memberikan peralatan sukan,” katanya selepas mesyuarat bersama pemain di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, dalam surat berkenaan juga pemain diterangkan mengenai komitmen mereka kepada negara dan BAM sendiri, termasuk dari segi pakaian penaja, imej, kontrak pihak ketiga dan tidak boleh bekerja sambilan.

“Tahun lalu pembayaran elaun bulanan paling tinggi kepada ialah RM4,500 dan awal tahun ini dinaikkan pula kepada RM10,000, sekarang (bermula September) pemain yang berjaya mencecah ranking nombor satu dan dua dunia akan dibayar RM15,000.

“Apa yang membezakan dengan skim sebelum ini, mereka diberikan pula bonus berdasarkan ranking semasa. Jumlah elaun bulanan dan bonus ranking adalah sama mengikut kedudukan ranking. Jika seseorang pemain itu berada di ranking nombor satu atau dua dunia jumlah bayaran elaunnya akan kekal sehingga bersara.

“Kami memperkenalkan elaun bulanan ini adalah untuk mengatasi masalah pemain yang sering gagal ketika memohon pinjaman di bank terutama bagi pembelian rumah. Sekarang elaun bulanan paling minimum RM2,500 dan maksimum RM15,000 sebulan,” kata Chin Chai.

Pemain yang menduduki ranking nombor satu dan dua dunia akan menerima bayaran elaun bulanan RM15,000 dan bonus ranking, juga RM15,000, manakala ketiga dan keempat RM12,000 (elaun bulanan) dan RM12,000 (bonus ranking).

Mereka yang menghuni ranking kelima hingga kelapan menerima RM10,000 (elaun bulanan) dan RM10,000 (bonus ranking), diikuti kesembilan hingga ke 16 dunia RM8,000 (elaun bulanan) dan RM8,000 (bonus ranking).

Sementara itu, pembayaran bonus ranking pula akan sentiasa berubah setiap bulan mengikut ranking semasa seseorang pemain.

“Kami juga membenarkan pemain mendapat penaja luar bagi memberi peluang menambah pendapatan, tapi dengan syarat ia bukan pesaing kepada penaja BAM. Menerusi skim baru ini sekurang-kurangnya pemain di ranking paling tinggi mampu meraih pendapatan mencecah RM500,000 setahun,” katanya.

Ditanya mengenai elaun Datuk Lee Chong Wei, pemain berkenaan yang menduduki ranking ke-34 dunia akan menerima bayaran elaun bulanan RM10,000 dan bonus ranking RM10,000 berdasarkan sumbangan serta beberapa pencapaian sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:19 AM