Oleh Asmah Rusman

asmah_rusmanhmetro.com.my

Kuala Lumpur: Satu sindiket didalangi lelaki tempatan dikesan aktif menjual pangkat pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kehormat/Bersekutu dengan harga antara RM3,000 dan RM10,000.

Suspek menggunakan nama Ah Chan, Chin atau Tan mendakwa pangkat RELA itu membolehkan mangsa memperoleh elaun bulanan tetap selain ‘kebal’ tindakan undang-undang.

Difahamkan suspek yang menyamar pegawai RELA berpangkat superintendan menjual pangkat berserta baju seragam RELA melalui laman sosial Facebook (FB).

Penasihat Kelab RELA Kehormat Selangor Datuk Seri Erwan Tahir berkata, status yang dimuat naik di FB itu mendapat lebih 20,000 ‘suka’ selain turut dikongsi pengguna laman sosial lain.

“Kami sudah membuat aduan selain cuba mendapatkan maklumat berhubung latar belakang dan keahlian lelaki itu daripada ibu pejabat RELA. Kemungkinan lelaki itu bukan ahli berdaftar,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Erwan, pangkat Kehormat Bersekutu dan RELA tidak boleh dijual beli sebaliknya ia dikurniakan kepada individu yang dipilih dan ditapis ahli jawatan kuasa khas selain perlu menjalani kursus.

“Semua lantikan pegawai dalam RELA Kehormat membabitkan individu yang mempunyai berlatar belakang profesional seperti doktor, peguam dan ahli perniagaan.

“Ahli kehormat juga secara sukarela mendaftar sebagai ahli untuk menyumbang tenaga dan melakukan kerja sukarelawan, malah proses pendaftaran juga mengikut prosedur, bukan boleh dibeli,” katanya.

Difahamkan, kes penipuan sama pernah berlaku dua tahun lalu oleh individu menyamar pegawai RELA.

“Mereka dipercayai menjual pangkat berkenaan pada harga antara RM3,000 dan RM10,000 bergantung kepada ‘ranking’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya RELA Kehormat yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pendaftaran sebagai ahli perlu melalui pegawai RELA daerah sebelum diajukan kepada RELA negeri dan seterusnya ke ibu pejabat.

“Tugas Rela Kehormat lebih kepada kesukarelawan, sekali gus tidak diberikan bayaran khusus atau gaji namun mereka masih diberi elaun pakaian RM1,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:08 AM