Kuala Lumpur: Dua tahun tidak mempunyai jurulatih membuatkan atlet lontar peluru Adi Alifuddin Hussin gagal mendapatkan balingan terbaik sehingga hampir tercicir daripada disenaraikan dalam skuad negara ke temasya Sukan SEA Singapura lalu.

Katanya, sejak ketiadaan bekas jurulatih Mohd Nazar Abdul Rahim yang meninggal dunia pada 2013 menyebabkan jadual latihannya tidak menentu dan menjadi punca lontaran semakin merosot.

Perkara itu jugalah antara penyebab atlet kelahiran Terengganu itu sekadar menghadiahkan pingat gangsa di Sukan SEA lalu yang turut menyaksikan pemenang emas dari Thailand Promrob Juntima melakukan 17.47m.

Balingan emas itu kurang 0.07m daripada rekod kebangsaan 17.54 yang dipegang Adi.

“Jika mempunyai jurulatih, saya yakin menghadiahkan emas buat negara. Sejak ketiadaan arwah Nazar saya bersendirian dan ada kalanya berlatih bersama bekas atlet dekathlon Malik Tobias.

“Jadual tidak menentu antara penyebab balingan saya tidak konsisten malah terus merosot. Perkara ini sudah diusulkan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan juga kepada KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) namun tiada tindakan diambil membuatkan saya terus tidak menentu,” katanya.

Adi sekadar meraih gangsa di Singapura apabila melakarkan 16.96m yang juga catatan terburuk di Sukan SEA sejak 2007 selepas memungut semua perak dalam empat edisi lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 10:13 AM