Kuala Lumpur: HeiTech Padu Berhad (HeiTech Padu) penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersepadu yang komprehensif meletakkan visi menjadi syarikat berasaskan teknologi transformasi utama negara dengan misi menyediakan penyelesaian penuh dalam sektor ICT.

Mengimbas kembali ketika memulakan operasi lebih 20 tahun lalu, syarikat milik penuh Bumiputera itu terbabit dalam beberapa projek kerajaan seperti membangunkan sistem pengkomputeran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sistem unit amanah saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta membangunkan sistem pengkomputeran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menerusi kepimpinan Pengerusinya, Datuk Sri Mohd Hilmey Mohd Taib syarikat itu mengubah transformasi kehidupan harian rakyat Malaysia yang bergantung kepada kaedah manual kepada kaedah digital yang boleh dicapai pada bila-bila masa dan di mana jua.

Menerusi inisiatif mewujudkan kerajaan elektronik (e-Goverment), pelbagai urusan berkaitan kerajaan dan agensi diselesaikan dengan pantas, malah orang ramai juga boleh mengakses sesuatu portal untuk mendapatkan maklumat dengan mudah.

Selari pembangunan negara yang menyambut kemerdekaan ke-58 tahun ini, potensi sektor teknologi maklumat (IT) elemen penting bagi memacu pembangunan sosioekonomi negara seperti negara maju, antaranya Jepun, Amerika dan Jerman yang memanfaatkan IT untuk menjadi kuasa ekonomi dunia.

Justeru, penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) untuk melihat kewujudan lebih banyak syarikat IT tempatan yang mampu bersaing dengan syarikat IT multinasional sebagai satu lonjakan kepada sektor ICT di negara ini.

Sebagaimana digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) khususnya dalam memacu sektor ICT, pengetahuan ekonomi menerusi inovasi dan produktiviti mampu meningkatkan daya saing.

Fokus harus diberi kepada pembangunan kandungan digital di bawah sektor media dan kandungan, selain penyelesaian perisian serta perkhidmatan membabitkan syarikat tempatan.

Justeru, melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran tinggi sangat penting bagi memenuhi pertumbuhan dalam pelbagai sektor seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan produk ICT serta perkhidmatan. Ini dapat memastikan negara mendapat manfaat dalam menyumbang ke arah pembangunan ICT global.

Sehubungan itu, kejayaan HeiTech sejak 20 tahun tahun lalu menterjemahkan amalan ‘memandang ke hadapan’ dalam menggerakkan organisasi bagi menjamin hubung kaitnya dalam menangani kepantasan perubahan landskap perniagaan dunia.

HeiTech yang memiliki kekuatan dan pengalaman luas dalam sektor awam serta swasta juga membina Pusat Data IT bertaraf dunia dikenali sebagai HeiTech Village 2, di Bukit Jelutong, sekali gus meletakkan keupayaan IT negara berada di landasan betul untuk duduk sebaris dengan negara yang mendominasi industri IT global.

Kini, HeiTech terus menyediakan penyelesaian ICT kepada beberapa industri penting negara seperti industri keselamatan negara, pengangkutan, kesihatan, perkhidmatan kewangan dan pertahanan.

Tinjauan masa depan, syarikat itu kini giat memasarkan kepakaran dan pengalaman di industri IT tempatan ke luar negara merangkumi sistem Pengurusan Maklumat Kitaran Hidup & Pendaftaran Rakyat, Sistem Pertukaran Maklumat Populasi, Sistem Pengurusan & Pendaftaran Kenderaan, Pengeluaran Dokumen Kembara Imigresen, Pengurusan Kawalan Sempadan Imigresen dan Sistem Pengurusan Haji serta Pencen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:01 AM