FIRDAUS bangga dapat menewaskan  Azizulhasni.
FIRDAUS bangga dapat menewaskan Azizulhasni.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pelumba negara Mohd Shah Firdaus Sahrom akhirnya mampu tersenyum apabila berjaya menjuarai acara keirin pada Siri Kedua Grand Prix Asia Tenggara semalam.

Lebih manis pelumba dari Johor itu berjaya menewaskan rakan sepelatih Azizulhasni Awang dan empat pelumba lain pada perlumbaan final di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Ia mengubat duka Shah Firdaus apabila dibatalkan kemenangan pingat perak dalam acara keirin pada Siri Pertama, Rabu lalu.

“Syukur kami berjaya menamatkan perlumbaan tempat pertama dan kedua. Perancangan saya dan Azizulhasni berjalan lancar dan tidak timbul masalah seperti Siri Pertama,” katanya selepas perlumbaan.

Azizulhasni mengawal perlumbaan sejak awal sebelum Shah Firdaus memulakan pecutan pada pusingan akhir untuk meraih kejuaraan sulungnya.

“Kami sebenarnya tidak kisah siapa yang menang, janji kemenangan 1-2 kepada Malaysia. Rezeki saya untuk sampai terlebih dulu di garisan penamat,” katanya.

Kutipan mata Shah Firdaus dalam dua siri perlumbaan itu membolehkan dia mengiringi Azizulhasni ke saingan Piala Dunia, Oktober ini.

Bagaimanapun pelumba wanita Fatehah Mustapa terlalu unggul untuk dicabar apabila meraih kejuaraan keempat dengan mengungguli acara keirin semalam.

Turut cemerlang adalah Ju Pha Som Net yang sedang mengumpul mata untuk ke siri Piala Dunia dalam acara omnium.

Ju Pha memastikan pingat emas buatnya apabila meraih kemenangan dalam baki tiga perlumbaan semalam.

“Ia mengubat kekecewaan saya apabila tidak mendapat mata pada Siri Pertama kerana tidak mempunyai penyertaan yang mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:10 AM