Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Kanak-kanak dikhuatiri hilang di Tasik Puchong Prima, Selangor, Muhammad Amirul Irfan Mohd Rashid, 10, ditemui lemas, pada 2.48 petang tadi.

Jasad Muhammad Amirul Ifran ditemui oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata, mayat kanak-kanak itu kini dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Operasi mencari mangsa dimulakan pada 8.30 pagi, hari ini. Selepas selepas beberapa jam mencari akhirnya unit skuba menemui kanak-kanak itu," katanya ketika dihubungi.

Semalam, mayat rakannya yang mempunyai nama yang sama, Mohd Amirul Irfan Mohd Sabri, 14, ditemui di lokasi sama, pada 7.22 malam.

Kedua-dua sahabat itu itu dikhuatiri lemas kira-kira 3.30 petang hari, yang sama.

Laman berita myMetro semalam, melaporkan dalam kejadian itu, Mohd Amirul Irfan Mohd Sabri, 14, dan Mohd Amirul Irfan Mohd Rashid, 10, bersama lapan rakan mereka berusia lapan hingga 14 tahun mandi di tasik itu.

Mereka sudah habis mandi, tetapi budak lelaki berusia 10 tahun itu mandi semula di tasik berkenaan sebelum dilihat terkapai-kapai meminta tolong.

Remaja 14 tahun itu cuba membantu tetapi dia terus tenggelam bersama rakannya itu.

Datuk remaja berusia 14 tahun itu, Mohd Hashim Samingan, 65, dipetik berkata, cucunya cuba menyelamatkan rakannya namun tidak berjaya apabila dia berenang ke tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:56 PM