RAKAMAN yang tular kononnya trailer rasmi filem sekuel ketiga XXRay. FOTO Tular
RAKAMAN yang tular kononnya trailer rasmi filem sekuel ketiga XXRay. FOTO Tular
Amirul Haswendy Ashari.


PENGARAH Aziz M. Osman, 56, menafikan trailer yang sedang tular di laman sosial sejak September lalu adalah trailer rasmi filem terbaru arahannya, XXRay 3.

Aziz ketika dihubungi berkata, trailer rasmi filem sekuel ketiga XXRay itu akan dilancarkan secara rasmi esok.

"Trailer yang ada di Youtube dan dikongsi di Facebook itu adalah suntingan pertama yang saya hantar kepada seorang kawan untuk mendapatkan pendapatnya.

"Tapi saya tidak sangka pula, tiba-tiba dia memuat naik trailer itu di laman sosial sehingga menjadi tular dan mendapat respon pelbagai daripada netizen," katanya.

Aziz berkata walau pun perkara itu berlaku beberapa bulan lalu, ia tidak membuatkannya kecewa atau marah.

Sebaliknya, pengarah itu melihat ia sebagai satu daripada bentuk promosi tidak rasmi kepada judul yang pernah menjadi kegilaan anak muda pada era 1990-an.

"Melihat secara positif, saya agak terharu bila perkara ini diperkatakan dan dibincangkan di medium maya. Promosi baik atau buruk tetap sebuah promosi," katanya optimis.

XXRay adalah filem bergenre sains fiksyen pertama Malaysia dan ditayangkan pada 1992, manakala sekuel kedua pada 1995.

Filem XXRay 3 bakal ditayangkan pada 24 Januari depan dibintangi Izzue Islam, Ardell Aryana, Adam John, Ashraf Muslim, Dazrin Kamarudin, Dato Jalaludin Hassan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 8:05 PM