SEKUMPULAN kanak-kanak pelarian Kurdis Syria menunjukkan tanda ā€˜Vā€™ di sebalik pagar di kem pelarian di bandar Suruc, wilayah Sanliufa, semalam.  Mereka adalah antara ribuan penduduk Kobane di utara Syria yang lari menyelamatkan diri daripada serangan militan IS.
SEKUMPULAN kanak-kanak pelarian Kurdis Syria menunjukkan tanda ā€˜Vā€™ di sebalik pagar di kem pelarian di bandar Suruc, wilayah Sanliufa, semalam. Mereka adalah antara ribuan penduduk Kobane di utara Syria yang lari menyelamatkan diri daripada serangan militan IS.
AFP

Beirut: Serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) semalam menyasarkan anggota Barisan al-Nusra selepas operasi serangan diperluaskan kepada kumpulan lain selain Negara Islam (IS), untuk kali kedua.

Serangan di barat laut Syria itu mengakibatkan beberapa militan dan dua kanak-kanak terkorban, kata Badan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR).

Menurut badan itu, beberapa serangan udara dilancarkan selepas waktu tengah malam dan menyasarkan sebuah kenderaan Barisan al-Nusra, kumpulan yang ada hubungan dengan al-Qaeda.

Sementara itu, Barisan al-Nusra mengesahkan serangan itu di Twitter dengan mendakwa ia dilakukan tentera salib dan Arab yang mengakibatkan beberapa kematian terutama orang awam.

Menurut SOHR, serangan turut dilakukan buat kali pertama terhadap satu lagi kumpulan Islam, Ahrar al-Sham berhampiran sempadan Turki.

AS dan beberapa negara melakukan serangan udara terhadap IS sejak September lalu dalam usaha menghalang kumpulan militan itu daripada memperluaskan kuasanya di negara berkenaan.

Serangan ke atas Barisan al-Nusra dilakukan selepas kumpulan itu menumpaskan pejuang Barisan Revolusi Syria yang disokong negara Barat di wilayah Idlib, barat laut Syria.

Kemaraan al-Nusra menjejaskan usaha Amerika Syarikat untuk mewujud dan melatih pasukan berfahaman sederhana bagi mengimbangi kekuatan pelampau dan tentera Presiden Bashar al-Assad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:12 AM