Singapura: Seorang wanita rakyat Singapura adalah antara mereka yang terbunuh dalam letupan bom pada petang Isnin di Bangkok, kata Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA).

Jurucakap MFA berkata Kedutaan Singapura di Bangkok sedang menyediakan bantuan kepada keluarga mangsa.

“Kami mengucapkan takziah yang tidak terhingga kepada keluarga mangsa di atas kehilangan orang yang mereka sayangi. Kami amat sedih dengan kejadian ini dan mengulangi pendirian kami yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas serta tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.

Duta Besar Singapura di Thailand, Chua Siew San juga melawat rakyat Singapura yang cedera di beberapa hospital tempatan, awal hari ini.

Mereka yang cedera dibenarkan keluar daripada hospital.

Kedutaan akan terus menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Singapura yang cedera akibat letupan bom itu serta waris mereka.

MFA juga menghubungi rakyat Singapura yang berdaftar di Bangkok dan memantau rapi keadaan di sana.

Menurut laporan jumlah kematian akibat kejadian itu meningkat kepada 22 orang manakala 123 orang lagi cedera.

Mereka yang terbunuh terdiri daripada lapan pelancong China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia dan Singapura. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 8:11 PM