Perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris berlangsung dalam keadaan amat menarik jika dilihat dari sudut persembahan setiap pasukan. Jaringan, kesilapan penjaga gol serta pertikaian mengenai prestasi individu akan terus dibahaskan pengulas tetapi secara keseluruhannya, corak permainan setiap pasukan jauh lebih baik berbanding musim lalu.

Walaupun baru perlawanan pertama, tahap persembahan menunjukkan peningkatan dan ia memberi petanda mengenai kebangkitan bola sepak di England.

Minggu lalu, Southampton bertandang ke Newcastle dengan persembahan baik menerusi Graziano Pelle serta Dusan Tadic. Hanya Sadio Mane yang dilihat perlu lebih bertenang apabila memegang bola. Persembahan agak gopoh pemain itu mengakibatkan pasukan beberapa kali kehilangan bola.

Hujung minggu ini, kita akan melihat Everton yang berhempas pulas ketika menentang Watford minggu lalu, bertandang ke Southampton dan kali ini, Everton tidak boleh teragak agak kerana Southampton jauh lebih baik berbanding Watford.

Perlawanan antara Sunderland dan Norwich pasti menarik kerana kedua-dua pasukan itu ketandusan pemain berkaliber. Daya tarikan terletak pada kesederhanaan kedua-dua pasukan.

Norwich mempamer persembahan kedua paling teruk minggu lalu dan mereka jelas memerlukan empat hingga lima pemain berkualiti tinggi agar tidak terus tenggelam.

Selepas berjaya membawa pulang satu mata dari Stamford Bridge, Swansea akan menyambut kehadiran Newcastle dengan keyakinan tinggi. Walaupun seri ketika menentang Chelsea yang bermain dengan 10 orang, Swansea tetap yakin dengan corak permainan mereka.

Newcastle kendalian Steve McClaren dilihat begitu memberangsangkan pada perlawanan pembukaan dan hanya sikap pemain saja yang boleh menyebabkan keruntuhan kestabilan pasukan.

Mengikut tradisi serta reputasi, pasukan Spurs paling senang dibuli manakala Stoke City pula digelar pembuli. Minggu ini, kita akan dapat lihat pasukan kendalian Mark Hughes yang sudah digelar Stokelona selepas menjalani satu transformasi di mana corak permainan dengan hantaran pendek berjaya mengubah imej pasukan.

Stoke dijangka memberi saingan hebat di White Hart Lane ketika menentang Spurs yang beraksi terlampau perlahan sepanjang perlawanan pertama di Old Trafford. Persembahan perlahan boleh menyebabkan mereka mengalami masalah dalam liga di mana tempo pantas amat penting.

Pengurus yang paling tertekan pastinya Arsene Wenger kerana beliau membuka tirai liga dengan kekalahan di gelanggang sendiri. Kekalahan di tangan West Ham mungkin memaksa Wenger melihat kembali bahagian tengah pasukannya. Kegagalan mereka menguasai bahagian sayap membuatkan West Ham mudah merampas bola untuk melakukan serang balas.

Mereka akan beraksi di Selhurst Park menentang Crystal Palace dan pasukan itu juga terkenal sebagai sebuah pasukan yang agresif dan gemar melakukan serang balas.

Jika Arsenal gagal membawa pulang tiga mata, tekanan ke atas Wenger pasti bertambah.

Pengendali Liverpool Brendan Rodgers mungkin berada di kedudukan serupa Wenger selaku pengurus paling tertekan tetapi jaringan gol berkualiti melalui Philippe Coutinho melegakan kedudukan beliau. Dengan kehadiran Bournemouth ke Anfield, Rodgers pasti boleh sedikit tersenyum.

Bournemouth tidak begitu menyengat dan ini adalah peluang terbaik Liverpool untuk membuka tirai perlawanan di tempat sendiri dengan nota kemenangan.

Jose Mourinho (gambar) bakal bertandang ke Manchester City sekali gus menandakan pertemuan dua pasukan yang wajar mendapat pengiktirafan di peringkat Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:06 AM