PENGASAS bersama Excalibur, Ivan Klimek (kiri) dan Tomas Korenko menerima hadiah utama cabaran Kaspersky.
PENGASAS bersama Excalibur, Ivan Klimek (kiri) dan Tomas Korenko menerima hadiah utama cabaran Kaspersky.
Oleh Aimie Pardas

Cambridge (Amerika Syarikat): Syarikat dari Slovakia yang menawarkan aplikasi pengesahan kata laluan menerusi telefon pintar, Excalibur dipilih pemenang utama Cabaran Keselamatan Syarikat Permulaan (SSC) 2015 (Kaspersky Security Startup Challenge 2015) di sini, hari ini.

Excalibur menewaskan 10 kumpulan lain yang menyertai pusingan akhir cabaran yang diadakan buat pertama kali, tahun ini.

Menerusi Excalibur, pengguna tidak perlu mengingati dan menaip kata laluan pada komputer atau laman web. Sebaliknya, komputer dapat mengesan telefon pintar yang digunakan sebagai 'token' keselamatan untuk login secara automatik.

Komputer juga akan 'dikunci' semula sebaik sahaja telefon pintar itu dibawa jauh dari komputer tersebut.

Excalibur mendapat AS$50,000 (RM201,375) serta sokongan pascaprogram sebagai pemenang utama.

Hadiah AS$20,000 (RM80,550) bagi tempat kedua dimenangi oleh Pipe yang membolehkan perpindahan fail tanpa limitasi saiz antara pelayar web dengan selamat manakala hadiah AS$10,000 (RM40,275) untuk tempat ketiga dikongsi ZeroDB dan Cyber Driveware.

SSC adalah inisiatif global syarikat perisian keselamatan, Kaspersky Lab bagi mengenal pasti  dan memupuk bakat baru dalam industri keselamatan.  Program tiga bulan itu dilaksanakan oleh Kaspersky Academy bersama syarikat modal usaha rentan, Mangrove Capital Partners dan  ABRT Venture Fund.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 11:26 AM