AFP

London: Persoalan terus berlegar apabila senarai kesebelasan utama Manchester United dikeluarkan minggu ini ketika skuad kendalian Louis van Gaal itu bersiap untuk bertemu Aston Villa, awal pagi esok.

Ketika perpindahan David de Gea (gambar) ke Real Madrid masih tergantung gara-gara kelab gergasi Sepanyol itu enggan membayar sebanyak mana dituntut United selain memasukkan nama Sergio Ramos sebagai sebahagian perjanjian, laporan media British menyebut United menjangka penjaga gol itu berkemungkinan besar kekal di Old Trafford musim ini.

De Gea, 24, duduk di tempat duduk penonton ketika United menang 1-0 ke atas Tottenham Hotspur minggu lalu selepas Van Gaal mendakwa isu perpindahannya ke Madrid mengganggu tumpuan penjaga gol itu.

Di sebalik kemelut itu, penjaga gol kedua, Sergio Romero beraksi cukup baik ketika menentang Spurs dan dengan Victor Valdes serta Anders Lindegaard diketepikan terus sambil De Gea belum dapat menenangkan dirinya, penjaga gawang antarabangsa Argentina itu pasti diberikan tugas utama ketika bermain di Villa Park nanti.

Ketika peminat United mahu De Gea terus kekal terutama selepas mengangkatnya selaku Pemain Terbaik Tahunan musim lalu, bekas penjaga gol Peter Schmeichel pula tampil dengan kritikan kerana tidak gembira melihat cara isu itu ditangani.

“Jika pemain tidak gembira, ejen, dia sendiri serta kelab sepatutnya menyelesaikan masalah itu sejak ia mula timbul,” kata Schmeichel. “Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila ia masih berlarutan hingga musim ini.”

Jika isu penjaga gol itu diketepikan seketika, United sebenarnya tidak perlu bimbang untuk bertandang ke Villa Park kerana mereka tidak pernah tewas di situ sejak 20 tahun lalu.

Begitupun, ketika United terpaksa menunggu hingga 22 November musim lalu sebelum merakam kemenangan pertama di tempat lawan, mereka pastinya berharap tidak perlu menunggu begitu lama untuk menang selaku pelawat musim ini.

Van Gaal mahu jentera serangannya lebih berbisa berbanding ketika menang tipis ke atas Tottenham di mana mereka muncul pemenang hasil gol sendiri pihak lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:20 AM