CHUA (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim (kanan) pada sidang media, semalam.
CHUA (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim (kanan) pada sidang media, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menyemak semula pertumbuhan industri insurans am tahun ini daripada 6.5 peratus kepada antara tiga dan empat peratus berikutan situasi pasaran yang tidak memberangsangkan terutama membabitkan penurunan jualan kenderaan di Malaysia.

Insurans perlindungan kenderaan menjadi penyumbang terbesar kepada industri berkenaan sekitar 50 peratus dan penurunan jualan kenderaan memberi kesan langsung kepada industri berkenaan.

Pengerusinya, Chua Seck Guan berkata, sentimen pengguna terhadap cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah salah satu faktor penurunan pembelian kenderaan dan sedikit kesan kepada segmen insurans am yang lain antaranya perlindungan hartanah.

Bagaimanapun, industri insurans am separuh pertama tahun ini masih menunjukkan prestasi industri yang positif dengan mencatatkan peningkatan 2.3 peratus kepada RM9.07 bilion dalam premium bertulis kasar berbanding tempoh sama 2014.

“Insurans motor mencatatkan kadar petumbuhan lebih perlahan 2.1 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding 8.3 peratus dalam tempoh sama tahun lalu. Manakala insurans kebakaran meningkat lima peratus berbanding 4.2 peratus.

“Pada separuh kedua tahun ini, kami jangkakan ia mampu meningkat sekitar satu digit memandangkan persekitaran pasaran ketika ini sukar untuk diunjurkan,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Dalam taklimat itu, PIAM turut mencatatkan kadar taja jamin lebih tinggi sebanyak RM754 juta pada separuh tahun pertama 2015 berbanding RM637 juta pada tempoh sama tahun lalu dengan nisbah kerugian industri bertambah baik kepada 56.7 peratus daripada 58.4 peratus.

Chua berkata, bagi separuh pertama ini, jumlah tuntutan insurans motor meningkat kepada RM2.69 bilion iaitu berkembang tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Peningkatan sebelum ini pada separuh pertama 2014 ke atas 2013 adalah 11 peratus.

“Secara purata kami membuat pembayaran tuntutan insurans RM14.7 juta setiap hari membabitkan insurans motor disebabkan kemusnahan harta, kemalangan jiwa dan kecurian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:32 AM