Kuala Lumpur: Bank Kerjasama Rakyat Bhd (Bank Rakyat) menerusi anak syarikatnya, Rakyat Holdings Sdn Bhd (Rakyat Holdings) menyasarkan keuntungan RM26 juta tahun ini berbanding RM23 juta yang direkodkan pada tahun lalu bersandarkan kepada prestasi perniagaan pajak gadai, Ar-Rahnu yang menggalakkan.

Rakyat Holdings mempunyai enam anak syarikat iaitu Rakyat Travel Sdn Bhd (Rakyat Travel), Rakyat Hartanah Sdn Bhd (Rakyat Hartanah), Rakyat Management Services Sdn Bhd (Rakyat Management), Rakyat Asset Management Sdn Bhd (Rakyat Asset Management), Rakyat Facility Management Sdn Bhd (Rakyat Facility Management) dan Rakyat Niaga Sdn Bhd (Rakyat Niaga).

Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, perniagaan Ar-Rahnu yang dikendalikan oleh Rakyat Asset Management kini menyumbang 50 peratus kepada keuntungan syarikat.

Beliau berkata, ketika ini, Bank Rakyat dalam proses awal bagi penstrukturan semula antara perniagaan perbankan dan Rakyat Holdings yang mana selepas ini ia akan dipecahkan mengikut entiti masing-masing.

“Penstrukturan ini membolehkan anak syarikat kami mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih luas dan merangsang pertumbuhan kumpulan lebih positif.

“Setakat ini, Bank Rakyat berada di kedudukan yang positif dengan pertumbuhan keuntungan sekitar enam hingga lapan peratus setahun,” katanya pada Majlis Jalinan Silaturahim Aidilfitri 2015 di sini, semalam.

Majlis sambutan Aidilfitri itu turut mengundang rumah anak yatim dan pelajar sekolah program pendidikan khas integrasi terpilih yang menerima sumbangan kewangan dari Bank Rakyat.

Abdul Aziz berkata, kerjasama Bank Rakyat dengan bank operasi di Indonesia juga menunjukkan kemampuan bank koperasi tempatan untuk meluaskan pernaiagaan mereka di pasaran asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:18 AM