MODEL menunjukkan telefon pintar terbaharu keluaran Samsung, Galaxy A80.
MODEL menunjukkan telefon pintar terbaharu keluaran Samsung, Galaxy A80.
Muhammad Saufi Hassan


REKAAN kamera pada telefon pintar kebiasaannya mempunyai takuk atau ‘notch’ pada skrin paparan untuk memuatkan lensa kamera swafoto.

Peranti arus perdana termasuk jenama terkemuka turut menggunakan kaedah sama dan terkini wujud rekaan kamera swafoto secara mekanikal ‘pop-naik’ namun binaan berkenaan menimbulkan kebimbangan risiko kerosakan alatan mekanikal terbabit.

Kamera utama di bahagian belakang dan juga kamera swafoto, lensa kedua fungsi diasingkan dan setiap daripadanya mempunyai keupayaan resolusi berbeza.

Semua rekaan itu boleh dianggap terlalu ‘biasa’ bagi Samsung dan syarikat gergasi elektronik itu mengambil langkah berani dengan melakukan inovasi ‘kamera berpusing’ untuk peranti Samsung Galaxy A80 keluarannya.

Samsung Galaxy A80 dilengkapi dengan kamera berpusing untuk kamera utama dan swafoto. Pengguna hanya perlu menekan butang penukaran kamera, ia secara automatik akan berpusing dan jika mengambil gambar swafoto, lensa berkenaan akan dinaikkan dan berpusing ke arah pengguna.

Penulis melihat penggunaan kamera berpusing ini adalah langkah berani untuk Samsung memandangkan tiada syarikat pengeluar telefon pintar yang menggunakan konsep berkenaan.

Jika dilihat daripada aspek barisan produk, peranti yang menggunakan kod nama A milik Samsung adalah peranti kelas pertengahan dan A80 adalah kelas pertengahan yang paling premium ditawarkan kepada pengguna.

SAMSUNG Galaxy A80
SAMSUNG Galaxy A80

Peranti berkenaan menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 730 yang menggunakan teknologi 8nm yang dipadankan dengan memori (RAM) 8GB.

Skrin telefon pintar ini berkeluasan 6.7 inci dan menggunakan paparan Super AMOLED skrin sesentuh untuk menghasilkan imej serta tona warna yang lebih baik.

Ia didatangkan dengan kamera tiga lensa iaitu 48 megapixel (MP) untuk lensa lebar, 8MP sudut ultra lebar dan kamera TOF 3D.

Kamera swafoto menggunakan tetapan yang sama dengan kamera utama memandangkan ia menggunakan konsep kamera berpusing dengan lensa yang sama.

Storan bagi peranti ini adalah 128GB dan menggunakan kapasiti bateri 3,700mAh serta pengecas pantas untuk kemudahan pengguna.

Samsung Galaxy A80 boleh diklasifikasikan sebagai peranti kelas pertengahan yang baik walaupun mempunyai beberapa masalah.

Mengulas daripada sudut positif, peranti berkenaan menggunakan konsep rekaan kamera yang unik dan kualiti skrin paparan adalah sangat mengagumkan umpama anda menggunakan peranti kelas premium.

Pengecas pantas juga amat baik apabila anda tidak perlu menunggu masa yang lama untuk mengecas telefon pintar dan itu menjadi keutamaan kepada pengguna yang sentiasa mahukan kepantasan.

Bagaimanapun, kelemahan yang jelas adalah peranti berkenaan mempunyai masalah ‘lagged’ dan mungkin juga ia berpunca daripada versi perisian yang tidak dinaik taraf sehingga mengganggu prestasi secara keseluruhannya.

Prestasi kamera pula hanya pada kadar sederhana saja dan jika anda menyangka kamera peranti ini setaraf dengan peranti premium, itu adalah tanggapan yang akan mengecewakan.

Spesifikasi

Pemprosses: Snapdragon 730

RAM: 8GB

Storan: 128GB

Kamera: 48MP + 8MP + TOF 3D

Bateri: 3,700mAh

Penilaian penulis

Prestasi: 3.5/5

Kemampuan kamera: 3.5 / 5

Bateri: 4.5/5

Keseluruhan: 3.5 / 5

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 10:58 AM