KESAN darah dan pisau yang disyaki digunakan yang ditemui di luar rumah. FOTO Hafis
KESAN darah dan pisau yang disyaki digunakan yang ditemui di luar rumah. FOTO Hafis
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Jitra: Pasangan suami isteri berusia 60-an parah selepas ditikam anak lelaki angkat mereka dengan pisau di kediaman mereka di taman suria, di sini, 9.30 pagi hari ini.

Difahamkan, suspek bertindak sedemikian selepas dia tidak dibenarkan masuk ke rumah itu selepas berlaku pertengkaran dengan ibu bapanya kira-kira 10 malam tadi.

Menurut sumber, bagaimanapun sebaik mangsa membuka pintu rumah, suspek terus masuk dan berlaku pertengkaran sebelum bertindak menikam perut ibunya sementara bapanya ditikam di pinggang kiri.

“Mangsa yang tercedera kemudian berlari meminta pertolongan daripada jiran. Bapa mangsa yang tercedera turut dihentak dua kali dengan topi keledar ketika berada di luar rumah,” katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudian menghubungi ambulans dan pihak polis yang datang dan menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan kejadian itu dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 2:49 PM