APABILA siap kelak, FAST mampu memberi jawapan kepada pelbagai persoalan sains.
APABILA siap kelak, FAST mampu memberi jawapan kepada pelbagai persoalan sains.
TELESKOP ini mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
TELESKOP ini mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
PROJEK pembinaan FAST membabitkan ribuan pekerja.
PROJEK pembinaan FAST membabitkan ribuan pekerja.
FAST adalah teleskop radio paling besar dunia dan mempunyai keluasan kira-kira 30 padang bola sepak.
FAST adalah teleskop radio paling besar dunia dan mempunyai keluasan kira-kira 30 padang bola sepak.
Oleh Susunan Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali

Sebuah teleskop radio terbesar di dunia sedang dibina di wilayah Guizhou, China dan dianggap sebagai ‘telinga’ untuk membantu saintis mendengar alam semesta.

Pembinaan teleskop apertur sfera lima ratus meter atau singkatannya FAST itu bermula pada Mac 2011 dan dijangka siap pada September 2016.

Projek teleskop radio gergasi berkenaan menelan belanja 1.2 bilion yuan (RM740 juta) sekali gus menjadi projek astronomi terbesar pernah dibina China.

Menurut akhbar People’s Daily, teleskop itu membantu saintis mengesan isyarat radio lemah dari angkasa lepas hingga ke luar sistem solar.

Ketua saintis di Balai Cerap Astronomi Kebangsaan, Li Di berkata, apabila siap kelak FAST akan kekal sebagai teleskop radio terbaik dunia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Rancangan untuk membina teleskop radio itu kali pertama dicadangkan pada 1993.

Namun, ia hanya diluluskan pada 2006 selepas satu ulasan antarabangsa dan persidangan penasihat mengenai sains serta teknologi FAST dijalankan.

Saintis menggambarkan teleskop itu sebagai ‘telinga’ yang boleh membantu mereka mendengar alam semester.

Penyelidik dari pelbagai bidang termasuk fizik, geologi dan astronomi menyambut baik pembinaan teleskop berkenaan yang bakal meningkatkan kemampuan manusia meneliti angkasa lepas.

Seorang ahli fizik, Chen Xuelei memberitahu, data gelombang medan graviti yang diperoleh teleskop berkenaan kelak boleh membantu membuktikan teori relativiti Einstein.

Tambah Li Di, FAST bukan sahaja boleh memberi jawapan terhadap persoalan astronomi tetapi jawapan kepada soalan mengenai kemanusiaan dan alam semula jadi.

“Potensi saintifik teleskop ini sukar untuk diramal,” katanya.

Teleskop itu membabitkan 4,450 panel memantul dan saiz piringnya seluas kira-kira 30 padang bola sepak.

Beberapa kabel dipasang di setiap panel bagi mengawal pergerakannya.

Rekaan rumit itu membantu saintis mengubah piring teleskop itu untuk menerima isyarat radio dari sudut berbeza.

“Cabaran terbesar projek ini adalah mengira dengan pantas dan menghubungkan data ini kepada ribuan komputer bagi mengubah arah teleskop gergasi ini.

“Kami menggunakan laser untuk mendapatkan koordinat yang betul dengan ketepatan sehingga beberapa milimeter,” ujarnya.

Balai Cerap Arecibo di Puerto Rico bakal kehilangan gelaran teleskop radio apertur tunggal paling besar di dunia apabila FAST siap nanti.

FAST mampu meninjau angkasa lepas 10 kali lebih baik berbanding Arecibo.

“Kami menyasarkan untuk menemui sesuatu yang bernilai bagi mendapat Hadiah Nobel.

“Walaupun kami membina teleskop ini tetapi kami mempelawa semua saintis dari seluruh dunia untuk menggunakannya,” jelasnya.

FAST dibina di satu permukaan bumi berlekuk di Dawodang di wilayah Guizhou.

Bentuk semula jadi muka bumi di kawasan itu membantu pembinaan saiz dan bentuk teleskop yang sempurna.

Permukaan tanah juga mampu menyokong sepenuhnya berat teleskop gergasi itu.

Kawasan itu adalah tanah poros yang membentuk sistem saliran air bawah tanah dan mampu memberi perlindungan kepada teleskop berkenaan.

Dawodang satu kawasan terpencil dan pekan terhampir terletak kira-kira 19 kilometer menjadikan ia bebas daripada gangguan magnetik.

Kedudukannya yang terpencil menyebabkan kawasan sekitar terpelihara daripada sebarang kerosakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:02 AM