Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Bayan Lepas: Dua penunggang maut manakala dua pembonceng cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung berhampiran Balai Polis Trafik Bayan Lepas di Jalan Bayan, di sini pagi tadi.

Kemalangan 2 pagi itu, membabitkan dua motosikal masing-masing dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan.

Ia membabitkan motosikal dinaiki dua remaja berusia 17 dan 19 tahun dikatakan dari arah Relau menghala ke Teluk Kumbar manakala dua lagi lelaki masing-masing berusia 19 tahun dari arah Teluk Kumbar menghala ke Bayan Baru.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai M Kumaran, 19, yang berasal dari Relau dan Muhammad Fazlizan Aris, 19, yang berasal dari Kulim, Kedah.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, keempat-empat mangsa terpelanting di atas jalan menyebabkan dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua yang parah dikejarkan Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 3:31 PM