WEBB Simpson dari Amerika Syarikat mencari rentak di lapangan  St. Andrews pada kejohanan Terbuka British.
WEBB Simpson dari Amerika Syarikat mencari rentak di lapangan St. Andrews pada kejohanan Terbuka British.
AP

St. Andrews, Scotland: Arnold Palmer merekod 5 pukulan bawah par 67 manakala pemain veteran Gene Sarazen meraih 69 pukulan pada hari pertama kelayakan kejohanan paling berprestij Terbuka British.

Pemain Inggeris Peter Alliss masih lagi memegang rekod terbaik 66 pukuan di lapangan golf lama yang cukup terkenal dan sukar itu.

Palmer yang mendapat tonik semangat dengan kehadiran bapanya Latrobe, membuat 32 pukulan pada sembilan lubang pertama di Lapangan Baru (New Course) sebelum meraih 67 pukulan keseluruhan. Rekod itu menyamai catatan yang dilakukan juara bertahan dari Afrika Selatan Gary Player.

Sarazen sudah berusia 58 tahun namun rambutnya masih hitam lebat seperti ketika memenangi kejohanan itu pada 1932. Dia yang beraksi baik pada pusingan di Lapangan Lama (Old Course) membuat pukulan bola cukup laju dan dua kali berjaya membenam putt dengan jarak 20 kaki.

“Saya memiliki idea semula,” kata Sarazen yang sempat mengenyitkan mata sambil tersenyum ketika melangkah di green lubang ke-18.

Ia kali pertama Sarazen membuat pukulan bawah 70 di St. Andrews.

Sarazen berkongsi 69 pukulan dengan 12 lagi peserta termasuk juara empat kali Terbuka British Peter Thomson dari Australia.

Lima lagi pemain berkongsi catatan 68 pukulan termasuk Joe Carr dari Ireland, bintang Piala Ryder seperti Eric Brown dari Scotland, Christy O’Connor (Ireland) dan Ken Bousfield (England).

Pusingan kelayakan kedua dan kelayakan terakhir dijadual berlangsung hari ini dengan semua pemain menukar lapangan. Hanya 100 daripada 388 pemain akan layak ke pusingan seterusnya bermula dengan aksi di Lapangan Lama esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:06 AM