AHMAD Bokhari (tiga dari kiri) bersama Siti Norzubaidah (dua dari kanan), Siti Nor Suhaida (kanan) dan Nurul Izatul (kiri).
AHMAD Bokhari (tiga dari kiri) bersama Siti Norzubaidah (dua dari kanan), Siti Nor Suhaida (kanan) dan Nurul Izatul (kiri).
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Kejayaan empat pemain sepak takraw wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) membantu negara meraih pingat gangsa di pentas Sukan SEA Singapura 2015 amat membanggakan pengurusan pasukan universiti itu.

Mereka adalah dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam iaitu Siti Norzubaidah Che Ab Wahab, Nurul Izzatul Hikmah Md Zulkifli, Siti Nor Suhaida Jafri dan Elly Shahira Rosli menyumbang keringat menghasilkan gangsa dalam acara antara regu.

Peyelaras sepak takraw UiTM, Ahmad Bokhari berkata, kejayaan manis mereka menjadi lambang kesungguhan warga UiTM meledak prestasi terbaik dalam misi melonjak nama negara di pentas rantau Asia dan antarabangsa.

Katanya, persembahan memberangsangkan keempat-empat pemain berkenaan diharap menjadi pemangkin prestasi lebih gah dalam misi membantu kejayaan lebih besar buat negara di kejohanan akan datang.

Menurutnya, mereka antara 23 atlet UiTM yang cemerlang di temasya Sukan SEA yang dirai sempena satu majlis pemberian insentif anjuran Pusat Sukan UiTM Shah Alam.

“Masing-masing menerima RM500 setiap seorang dalam misi menghargai jasa dan kesungguhan mereka menyumbang pingat buat negara, walaupun cabaran amat sengit pada saingan sebenar.

“Jumlah keseluruhan insentif kepada atlet UiTM yang cemerlang di Singapura berjumlah RM21,250. Penyerahan insentif disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said,” katanya.

Sementara itu, Siti Norzubaidah berkata, mereka amat menghargai insentif berkenaan yang dianggap pembakar semangatnya dan rakan lain untuk beraksi lebih baik.

Katanya, sokongan pihak universiti akan sentiasa menguatkan keazaman mereka untuk mencipta pencapaian lebih baik dalam masa sama meletakan negara sebaris kuasa sukan di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:05 AM