BERNAMA

TUJUH pegawai dan anggota polis serta enam individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun seorang ahli perniagaan 19 Mei lalu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua individu terbabit bersama dua pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota dibebaskan selepas tempoh reman tamat hari ini.

“Siasatan hampir lengkap dan kertas siasatan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Ini kes serius dan saya tidak akan berkompromi dengan jenayah seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ops Selamat 15 peringkat Kuala Lumpur di Pusat Membeli Belah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, dua Inspektor berkenaan iaitu seorang dari Maktab Teknik PDRM, Muar manakala seorang lagi pegawai dari Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta lima anggota lain iaitu seorang dari IPD Petaling Jaya, tiga dari Balai Polis Sea Park dan seorang dari Balai Trafik, Jalan Bandar akan bertugas seperti biasa sehingga siasatan mendapati mereka bersalah dan boleh dikenakan tindakan mahkamah.

Dalam kejadian 19 Mei lepas, seorang ahli perniagaan pengurup wang membuat laporan polis selepas disamun dan diperas ugut oleh sembilan individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM200,000.

Sementara itu, seramai 13 orang Pegawai Kanan dan 186 orang Pegawai Rendah Polis terbabit dalam Op Selamat 15 bermula hari ini hingga 12 Jun bagi mengawasi kelancaran keadaan lalu lintas serta keselamatan.

Mazlan berkata statistik tahun lalu menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan maut iaitu 14 kematian berbanding 2017 iaitu tujuh kematian disebabkan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Polis Kuala Lumpur akan memberikan tumpuan kepada kesalahan seperti memandu melebihi had laju dibenarkan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, potong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 25,728 saman dikeluarkan dan 11 kematian tertinggi dicatat membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal pada Op Selamat 13, tahun lepas.

Mazlan berkata 10 lokasi kerap berlaku kemalangan akan diberikan tumpuan pengawasan iaitu Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, MRR2, Jalan Tun Razak, Jalan Kucing, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 9:27 PM