New Delhi: Mahkamah Agung India semalam mengarahkan siasatan persekutuan terhadap skandal kemasukan kolej dan jawatan kerajaan bernilai jutaan dolar yang dikaitkan dengan puluhan kematian misteri.

Biro Siasatan Pusat India yang mempunyai peranan sama seperti FBI diarahkan mengambil alih siasatan daripada polis tempatan bagi memeriksa penyelewengan berhubung kemasukan ke kolej dan kerja itu selain menyiasat kematian hampir 50 orang yang dikaitkan dengan penipuan itu.

Ratusan ibu bapa dan pelajar ditahan kerana memberi rasuah, selain pegawai kerajaan yang didakwa memanipulasi peperiksaan kemasukan bagi kolej perubatan serta pengambilan kerja untuk anggota polis, sektor perbankan dan sekolah di Madhya Pradesh.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan tempatan Madhya Pradesh menjawab petisyen mendesak pemecatan gabenor yang dilantik selepas timbul pertikaian mengenai pembabitannya dalam skandal berkenaan.

Anak Gabenor Ram Naresh Yadav, Shailesh Yadav, meninggal dunia secara misteri Mei lalu selepas didakwa menerima rasuah di rumah pegawai terbabit.

Pemimpin parti pembangkang Kongres mendesak siasatan persekutuan terhadap kes itu selepas mendakwa kerajaan Madhya Pradesh cuba mengganggu siasatan polis tempatan.

Pemimpin Parti Kongres Digvijay Singh juga mendesak Ketua Menteri Madhya Pradesh Shivraj Singh Chouhan meletak jawatan bagi membolehkan siasatan bebas dan saksama dijalankan.

“Pelajar yang ditahan berhubung penipuan itu juga patut menjadi saksi.

“Tidakkah pelik apabila ratusan pelajar dan ibu bapa mereka pula yang dipenjara sedangkan orang yang mengambil rasuah bebas?” katanya.

Lebih 2,500 orang didakwa terbabit dalam skandal itu dengan 1,900 ditahan.

Puluhan orang - tidak kira suspek atau saksi - mati dalam keadaan yang tidak dapat dijelaskan sejak lima tahun lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 9:39 AM