Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dijangka lebih bersemangat menjelang Grand Prix (GP) Emas Terbuka Taiwan 2015 minggu depan apabila isterinya, Datin Wong Mew Choo melahirkan anak kedua mereka semalam.

Mew Choo yang juga bekas pemain perseorangan wanita negara, selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.96 kilogram di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang tepat jam 4.38 petang semalam.

“Selamat datang ahli keluarga terbaru. Kami sangat bangga dan gembira melihat anda,” kata Chong Wei di akaun laman sosial, Instagram miliknya semalam.

Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melalui satu kenyataan rasmi, mengucapkan tahniah kepada Chong Wei dan Mew Choo di atas kelahiran anak lelaki kedua mereka semalam dan mengakui bahawa, kedua-dua individu yang sering mengharumkan nama badan induk itu berbangga dengan kedatangan cahaya mata kedua itu.

“Kami dimaklumkan ibu dan anak dalam keadaan sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 6:47 AM