KEHADIRAN Tun Mahathir menarik peserta dan orang ramai untuk mendekati beliau.
KEHADIRAN Tun Mahathir menarik peserta dan orang ramai untuk mendekati beliau.

Saban tahun, kemunculan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan umat Islam.

Di Alor Setar, Kedah, bazar Ramadan paling mendapat perhatian ialah di pekarangan Stadium Darul Aman kerana ia menyediakan 280 lot niaga dengan pelbagai juadah menarik.

Antara yang menjadi perhatian ialah jus teh bunga madu, ayam bakar tempayan dan nasi ulam bersama sayur keladi.

Keunikan dan kemeriahan Bazar Ramadan Stadium Darul Aman menarik minat lebih 100 ahli Kelab Fotografi Nikon Kedah berkumpul bersama keluarga.

Mereka dikehendaki merakam pelbagai aktiviti di bazar menerusi lensa kamera dalam Program Ramadan Family Walkabout Alor Setar 2015, baru-baru ini.

Wakil penganjur, Mohd Rizal Ismail berkata, aktiviti ini memasuki tahun ketiga.

“Jumlah penyertaan semakin meningkat termasuk peserta dari Pulau Pinang dan Perlis.

“Program ini menghimpunkan pemilik kamera jenama Nikon sama ada profesional atau sekadar hobi masa lapang,”katanya yang berkecimpung dalam dunia fotografi selama 19 tahun.

Pelbagai gelagat peniaga dan pengunjung menjadi sasaran kumpulan fotografi itu mendapatkan hasil dan penceritaan gambar terbaik.

Kemunculan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di lokasi sama memeriahkan lagi program itu.

Ia membuatkan peserta tidak menumpukan perhatian kepada bazar sebaliknya mengambil peluang merakam kenangan bersama Tun Mahathir.

Program ini mendapat kerjasama Nikon Malaysia yang menaja kemeja-T dan juadah berbuka puasa untuk peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 5:32 AM