AIDA seronok berniaga.
AIDA seronok berniaga.
Oleh Nor Akmar Samudin


Bermula dengan perniagaan tudung dan pakaian secara ‘online’ pada 2012, kini juara program Gadis Melayu musim pertama, Aida boleh tersenyum bangga kerana impiannya untuk memiliki butik tercapai.

Butik yang diberi nama CitrAida itu tersergam indah di The Strand, Kota Damansara.

Kata ibu kepada dua cahaya mata itu, sejak setahun lalu dia sudah merancang dengan suaminya juga penyampai berita Buletin Utama TV3 Saiful Nizam Ismail untuk mencari lokasi bagi merealisasikan impiannya itu namun ada saja halangannya terutama dari segi pemilihan tempat yang sesuai, mencari pembekal tudung, baju dan sebagainya.

“Pernah juga kami merancang untuk mencari kedai di sekitar Shah Alam kerana di sana menjadi tumpuan perniagaan pel­bagai produk Muslimah tetapi selepas puas pusing-pusing mencari macam tak ada yang sesuai.

“Saya tidak begitu bimbang dengan persaingan kerana selain sudah ada pelanggan tetap menerusi perniagaan ‘online’, saya juga amat mementingkan kualiti,” katanya.

Menurutnya, pembukaan butik itu tepat sekali ketika umat Islam kini sibuk membuat persiapan Aidilfitri.

Selain itu, Aida turut memberi ruang kepada bekas selebriti di TV3, Zakiah Anas dan Azizah Ariffin yang juga rakannya me­nyewa ruang di butiknya mempamerkan koleksi baju mereka.

“Saya tidak mengambil keuntungan daripada jualan baju kawan-kawan kerana niat saya mahu membantu mereka saja. Mereka cuma bayar sewa ruang mempamerkan baju itu.

“Dalam perniagaan perlu ada konsep tolong menolong. Saya yakin dengan rezeki daripada Allah SWT dan dalam hidup ini kita juga mesti banyak memberi,” katanya.

Sebagai menandakan kesyukuran dengan pembukaan butik itu, pasangan suami isteri itu mengadakan majlis

doa selamat pada 10 Jun lalu.

Bagi perancangan jangka panjang, Aida sudah merancang untuk mempelbagaikan rekaannya mengikut musim dan trend terkini.

“Pakaian di butik saya tidak tertumpu pada baju tradisional seperti baju kurung saja di mana selepas raya ini saya juga akan keluarkan baju kasual untuk Muslimah tetapi menepati per­kembangan fesyen terkini yang boleh digayakan untuk semua keadaan.

“Saya mahu melahirkan fesyen Muslimah yang sofistikated, anggun dan bergaya kerana mereka yang berhijab juga perlu berpenampilan menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:02 AM