Bangkok: Kekayaan bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra meningkat 38 juta baht (RM4.25 juta) kepada 579 juta baht (RM64.76 juta) sepanjang beliau berkuasa.

Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan semalam mendedahkan senarai aset dan hutang yang diisytiharkan Yingluck serta sembilan lagi bekas menteri kabinetnya.

Pengisytiharan harta itu dibuat setahun selepas pemimpin itu digulingkan dalam satu rampasan kuasa tahun lalu.

Yingluck mengisytiharkan aset miliknya, suami dan anak lelakinya bernilai 612 juta baht (RM68.44 juta) dengan hutang 33 juta baht (RM3.69 juta), menjadikan aset bersihnya 579 juta baht (RM64.76 juta).

Aset bersih keluarga Yingluck didapati meningkat 38 juta baht (RM4.25 juta) berbanding harta yang diisytiharkan beliau ketika menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2011.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Plodprasop Suraswadi pula mempunyai aset bernilai 967 juta baht (RM108.14 juta) dengan hutang 1.6 juta baht (RM178,919). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:11 AM