TASHA Shilla
TASHA Shilla
Oleh Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: “Saya kecewa kerana ia menjatuhkan maruah saya sebagai wanita tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tabah,” kata pelakon Tasha Shilla, 28, berhubung kontroversi penyebaran gambar separuh bogel didakwa miripnya, baru-baru ini.

Tasha atau nama sebenarnya Natasha Shilla Abd Razak berkata, ini bukan kali pertama dia dikaitkan dengan kes yang menjatuhkan maruahnya.

“Bagaimanapun, saya kuat kerana doa yang juga senjata kita sebagai umat Islam.

"Saya juga tak mati dengan kejian dan tak hidup dengan pujian. Pada masa sama, saya juga mengambil tindakan berjuang dalam diam. Apa yang berlaku juga membuatkan hubungan saya dan keluarga bertambah rapat," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa AirAsia di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tasha berkata, dia sudah membuat laporan polis pada 9 Jun lalu dan menyerahkan kes terbabit kepada polis dan peguamnya.

"Saya berdiam diri kerana tidak mahu kenyataan dimanupulasikan pihak tertentu.

"Saya juga ingin menyelesaikan kes ini secara privasi dan masyarakat kena faham,” katanya.

Kontroversi itu tercetus apabila gambar seorang wanita yang hanya memakai seluar dalam tersebar dan ia dikaitkan dengan pelakon terbabit berdasarkan beberapa persamaan termasuk telefon bimbit yang digenggamnya.

Selain itu, wujud desas-desus kononnya penyebaran gambar itu dilakukan individu tertentu atas tujuan sabotaj dan mengaibkan pelakon terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 9:57 PM