Ranau: Tiga puluh satu kemudahan kesihatan di Sabah mengalami kerosakan pelbagai tahap akibat gempa bumi yang melanda negeri ini pada 5 Jun lalu serta puluhan gempa susulan selepasnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, 11 premis kesihatan yang mengalami kerosakan di Ranau ialah lima Klinik Desa (KD), empat Klinik Kesihatan (KK), sebuah klinik ibu dan anak (KIA) dan sebuah kuarters Hospital Ranau manakala kerosakan di Tuaran pula ialah masing-masing satu KK dan KIA serta enam KD.

Katanya terdapat sembilan kemudahan kesihatan turut mengalami kerosakan di Kota Belud iaitu Hospital Kota Belud sendiri dan satu KK dan tujuh KD,di daerah Papar masing-masing satu KIA dan KD dan di daerah Putatan hanya sebuah KK.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menentukan apakah langkah yang akan diambil untuk memperbaiki kerosakan itu. Kalau pemeriksaan JKR secara forensik menentukan bahawa bangunan itu tidak selamat lagi, kita akan mengambil kira pandangan ini dan membina kemudahan baharu.

Kalau JKR memberi pandangan bahawa (sesebuah) bangunan itu masih selamat dari segi strukturnya dan memerlukan kerja-kerja pembaikan sahaja terhadap kerosakan di bangunan itu maka kita akan lakukan kerja pembaikan sahaja ke atas bangunan itu,” katanya ketika membuat lawatan rasmi ke Sabah, hari ini.

Antara kemudahan yang dilawati Dr Subramaniam ialah KD Kelawat, Tuaran; KK Kundasang dan persekitaran Hospital Ranau. Beliau diiringi Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi semasa lawatan itu.

Beliau berkata ada di antara kemudahan berkenaan secara kasarnya mengalami kerosakan teruk seperti kuarters Hospital Ranau dan kuarters KK Kundasang sehingga premis itu terpaksa dikosongkan buat sementara waktu sehingga laporan keselamatannya dikeluarkan JKR.

Katanya operasi KD Kelawat di Tuaran juga terpaksa dipindahkan ke sebuah premis berhampiran selepas secara kasarnya kemudahan berkenaan mengalami keretakan teruk namun kementeriannya masih menunggu laporan JKR mengenai keselamatan bangunan itu.

“Apa yang saya ingin maklumkan ialah perkhidmatan kesihatan di semua kawasan kemudahan tadi dijalankan secara sepenuhnya. Walaupun ada operasinya berpindah (sementara waktu) ke premis lain tetapi ia tidak mengganggu perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di situ,” katanya.

Mengenai pembinaan kemudahan kesihatan pada masa depan di kawasan berisiko tinggi dilanda bencana gempa bumi seperti di Ranau dan Kundasang, Dr Subramaniam berkata kementeriannya akan mendapatkan nasihat daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Mineral dan Geosains serta agensi-agensi lain mengenai jenis bangunan yang perlu dibina dan kaedah membinanya.

Katanya, nasihat seperti itu perlu bagi memastikan bangunan masa depan di kawasan berisiko berkenaan tahan gegaran serta mengambil kira keselamatan penghuni dan pengguna yang menggunakan bangunan berkenaan.

Sementara itu, Dr Subramaniam juga menyampaikan penghargaannya kepada semua warga Kementerian Kesihatan di Sabah kerana telah melaksanakan tugas dengan cemerlang semasa bencana gempa bumi melanda Sabah pada 5 Jun lepas sehingga krisis itu selesai.

Katanya petugas kesihatan di Sabah termasuk doktor dan doktor pakar telah memberi perkhidmatan perubatan terbaik kepada mangsa yang cedera manakala yang terkorban, termasuk warganegara asing, petugas kesihatan dapat menguruskannya dengan cekap dan cepat termasuk berjaya melaksanakan pemadanan DNA ke atas mangsa yang tidak sempurna. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:37 PM