Kereta dan lori yang bertembung serta anak dan ibu yang maut. FOTO ihsan PDRM.
Kereta dan lori yang bertembung serta anak dan ibu yang maut. FOTO ihsan PDRM.
Oleh Syazwan Msar

Rompin: Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi parah, kereta bertembung dengan lori di Jalan Shah Bandar, berhampiran FELDA Keratong 3, Muadzam Shah, dekat sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira 4.15 petang itu mengorbankan pemandu kereta, Nor Hafizah Md Nor, 27, dan ibunya, Joharia Darus,65, serta anak saudaranya, Muhammad Farish Ashraf Mohd Faizul, 3.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan dan mayat mereka dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat.

Tiga lagi penumpang kereta iaitu adik Nor Hafizah, Norizati Md Nor, 26, dan anak saudaranya, Muhammad Affar Firdaus Mohd Zaidi, 3, serta Muhammad Aflan Arif Mohd Zaidi, 2, parah.

Norizati dibawa ke Hospital Segamat, Johor, manakala dua beradik itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, untuk dirawat.

Semua mangsa yang berasal dari FELDA Keratong 5 dalam perjalanan dari Bandar Tun Razak dekat sini ke rumah dipercayai selepas membeli juadah berbuka.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Zainalabidin Othman berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, Nor Hafizah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Akibatnya, kereta itu bertembung dengan lori yang dipandu Mohd Nur Faizani, 33, menyebabkannya berpusing dan terbabas ke kanan jalan," katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.

Zainalabidin berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi ambulans yang tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 11:00 PM