BOTAK amat ditakuti berlaku bukan saja lelaki, malah wanita.
BOTAK amat ditakuti berlaku bukan saja lelaki, malah wanita.
KEGUGURAN rambut tidak normal perlu mendapat perhatian segera.
KEGUGURAN rambut tidak normal perlu mendapat perhatian segera.
PUSAT rawatan Svenson menawarkan rawatan intensif pakar terhadap pelbagai masalah kulit kepala dan rambut.
PUSAT rawatan Svenson menawarkan rawatan intensif pakar terhadap pelbagai masalah kulit kepala dan rambut.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kebanyakan individu tidak begitu serius dalam soal penjagaan dan kesihatan rambut sebagaimana mereka teliti menjaga kulit muka.

Ramai yang sanggup berbelanja besar membeli produk penjagaan kulit muka bermutu tinggi, tetapi tidak ramai yang memberikan tumpuan terhadap penjagaan rambut kerana beranggapan penggunaan apa saja syampu sudah memadai.

Bagaimanapun, ramai yang menghadapi masalah rambut dan memerlukan lebih daripada penjagaan biasa untuk rambut mereka. Malah, ada yang tidak sedar mereka berdepan masalah rambut kronik dan memerlukan rawatan pakar.

Berkesempatan menghadiri sesi rawatan rambut di salun pakar penjagaan rambut, Svenson sempena ulang tahun ke-59 syarikat itu baru-baru ini, petugas media turut diberi penerangan lengkap mengenai kepentingan penjagaan kulit kepala oleh Trikologis Svenson, Rossanna Fernando.

Kami turut merasai pengalaman lengkap terdiri daripada analisis terperinci kulit kepala dan rambut serta rawatan bersesuaian dengan keadaan khusus kulit kepala dan rambut selain nasihat mengenai produk tepat untuk penjagaan rambut di rumah.

Rossanna berkata, sudah menjadi kebiasaan rata-rata rakyat di negara ini jarang memikirkan keadaan kulit kepala mereka, sebaliknya tumpuan utama hanya pada rambut. Justeru, pentingnya mendidik orang ramai mengamalkan penjagaan kulit kepala yang betul kerana ia bukan saja mengekalkan kepala dan rambut sihat, tetapi juga membantu mencegah rambut gugur dan penipisan rambut lelaki dan wanita.

“Melalui keputusan pemeriksaan kulit kepala di pusat penjagaan rambut kami, ia dapat menyediakan analisis saintifik tepat dan terperinci serta membuat pelbagai strategi penyelesaian untuk disesuaikan dengan keperluan setiap orang,” katanya.

Menurutnya, pembersihan kulit kepala kita sama pentingnya dengan detoksifikasi badan. Rawatan pembetulan menggunakan serum yang dirumus khas untuk mengawal pengeluaran sebum dan mengurangkan tahap dihydrotestosterone (DHT menyebabkan kehilangan rambut kekal), adalah rawatan utama Svenson yang memberi kesan rambut yang bersih.

Ramai orang bersungguh-sungguh menjaga rambut mereka dan sanggup membeli syampu mahal, perapi rambut dan minyak pelembap yang sesuai dengan keadaan rambut mereka.

Tetapi apa yang mereka lakukan jika mereka melihat lebih banyak jumlah rambut gugur semasa mencucinya atau penipisan rambut mereka?

Menurutnya, ramai yang tidak sedar masalah rambut atau kulit kepala boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor dan puncanya juga berbeza bagi setiap individu.

Oleh itu, katanya, penyelesaian kepada masalah itu bukan semudah membeli produk di pasaran berasaskan cadangan semata-mata daripada rakan atau khabar angin.

Ketika ini terdapat banyak produk penjagaan rambut dengan pelbagai bahan di pasaran yang menjanjikan kelebihan tertentu, kebanyakannya hanya untuk melariskan produk tanpa mengambil kira keperluan rambut.

“Kebiasaannya, apa jua penyebabnya, kulit kepala memegang kunci kepada rambut yang sihat dan sempurna. Ramai yang tidak mendapatkan rawatan sehingga ia menjadi serius.

“Kekurangan kesedaran mengenai penjagaan kulit kepala dan rambut yang betul menyebabkan ramai orang berlengah mendapatkan rawatan yang betul, namun pada masa sama, mereka membelanjakan wang untuk produk yang tidak berkesan atau tidak sesuai,” katanya.

Rossanna juga menolak kepercayaan popular sejak dulu iaitu kita tidak boleh mencuci rambut setiap hari. Sebaliknya, dia berkata, mencuci rambut setiap hari perlu untuk mengekalkan kulit kepala yang bersih daripada minyak, kotoran dan peluh.

Kulit kepala adalah organ yang menumbuhkan rambut dan sama seperti organ lain dalam badan kita, ia perlu kekal sihat.

Folikel kulit kepala yang sihat menghasilkan rambut yang sihat dan kuat mengikut kitaran pertumbuhan tiga peringkat yang biasanya berlangsung selama beberapa tahun.

Pada akhir kitaran, rambut gugur, folikel ‘berehat’ untuk beberapa minggu, kemudian kitaran pertumbuhan bermula semula. Bagi kulit kepala yang tidak sihat, rambut gugur pada kadar yang lebih cepat dan rambut baru lebih nipis dan lemah. Akhirnya, inilah yang membawa kepada botak.

“Jika seseorang menghadapi masalah rambut atau kulit kepala, jangan berlengah untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat.

“Penting untuk kita semua mengetahui lebih lanjut mengenai kepentingan penjagaan kulit kepala kerana ia kunci bagi mendapatkan kulit kepala dan rambut yang sihat dan sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 12:17 PM