Serang (Indonesia): Polis di bandar ini menahan tiga anggotanya kerana disyaki menembak mati seorang lelaki yang ditemui terbaring berlumuran darah di sebatang jalan pada Mac lalu.

Ketua polis Serang, Nunung Syafruudin berkata, mayat mangsa, Dwi Siswanto, 32, ditemui dengan beberapa kesan tembakan.

“Kes ini mula terungkai apabila kami mengambil keterangan isteri mangsa yang datang untuk membuat pengecaman mayat.

“Selepas siasatan lanjut kami mendapati mangsa ditembak oleh tiga anggota polis akibat masalah hutang,” katanya.

Katanya, ujian forensik terhadap dua peluru yang dijumpai pada tubuh mangsa mendapati ia berasal dari pistol milik anggota polis berkenaan.

“Suspek memberitahu dia berang selepas mangsa masih gagal melangsaikan hutangnya.

“Ketiga-tiga suspek menjemput mangsa di rumahnya sebelum dia ditembak dan mayatnya dibuang di tepi jalan,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:59 AM