Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap tragedi yang menimpa penjaga gol utama skuad hoki negara S Kumar berikutan kehilangan anaknya diharapkan menjadi inspirasi kepada barisan pemain negara lain untuk mempamer aksi cemerlang pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium.

Kumar terpaksa pulang lebih awal selepas anak keduanya, Haarshenn yang berusia tiga tahun meninggal dunia, difahamkan akibat jangkitan kuman.

Ditemui ketika menziarahi keluarga Kumar semalam, Shapawi mahu anak buah Tai Beng Hai memberikan kegembiraan, khususnya kepada Kumar dengan cuba layak ke Sukan Olimpik menerusi kempen kelayakan itu.

“Harap apa yang menimpa Kumar ini dijadikan sebagai satu cabaran oleh rakan sepasukan mereka mampu menyumbang sesuatu untuk Kumar serta keluarganya.

“Sudah pasti saya sendiri mengharapkan mereka dapat bermain sebaik mungkin. Teruskan perjuangan dan jangan bersedih,” katanya.

Jelas Shapawi, sasaran untuk skuad negara tetap sama iaitu untuk cuba layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 meskipun tanpa Kumar bersama mereka.

“Kalau mereka mahu bermain di Sukan Olimpik Rio, mereka kena layak di Belgium,” katanya.

Skuad negara bakal memulakan kempen kelayakan dengan bertemu China pada Ahad ini sebelum bertemu Ireland pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:03 AM