GANDINGAN hebat Rita dan Siti Elizad meski pertama kali bekerjasama.
GANDINGAN hebat Rita dan Siti Elizad meski pertama kali bekerjasama.
SALAH satu babak yang menyaksikan Amar terlantar di hospital.
SALAH satu babak yang menyaksikan Amar terlantar di hospital.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Telefilem raya terbitan JS Pictures Sdn Bhd, Bukan Wanita Sempurna yang mendapat sentuhan pengarah terkenal, Jinggo menggandingkan bintang hebat, Rita Rudaini, Siti Elizad, Izreen Azminda dan Amar Asyraf.

Bagi mewarnai lagi jalan cerita, naskhah santai ini turut diselitkan dengan beberapa konflik. Emosi yang disampaikan menerusi watak lakonan Rita, Elizad dan Ezreen membangkitkan rasa berbeza kepada setiap babak.

Pernah menggenggam trofi Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2006, Jinggo mahukan tonggak utama karya ini tampil dengan gaya lakonan berbeza.

“Dua hari sebelum memulakan penggambaran, saya melihat kembali lakonan terdahulu mereka. Daripada situ saya boleh bentuk gaya lakonan berbeza dalam karya ini.

“Saya beruntung kerana mendapat barisan pelakon yang bagus. Hanya sekali penerangan, mereka dapat sampaikan apa yang diinginkan pada setiap babak. Walaupun ini kerjasama pertama JS Pictures bersama Rita, Siti Elizad dan Izreen, apa yang saya boleh katakan mereka sangat memberi,” katanya.

Jinggo turut memuji sikap mereka yang memberikan 100 peratus komitmen selain bersedia dengan ‘homework’ sebelum masuk ke lokasi.

“Apabila skrip siap, isteri saya, Sheila Rusly akan membaca dan menelitinya terlebih dahulu. Daripada situ dia membayangkan pelakon yang sesuai dan kemudian barulah dia berurusan dengan pihak stesen TV.

“Selain itu, pemilihan pelakon ini berdasarkan kehendak pasaran dan permintaan pihak stesen TV. Alhamdulillah, nama yang dicadangkan dipersetujui. Paling penting, kami di JS Pictures tidak mengambil pelakon yang ada reputasi buruk,” katanya.

Bukan Wanita Sempurna mengisahkan pasangan Ghazali lakonan (Amar) dan Liza (Elizad) berantakan disebabkan Liza nekad mahu bertudung. Ghazali lebih sukakan penampilan lama isterinya itu. Konflik timbul apabila Liza perlu memilih antara permintaan suami atau suruhan agama.

Dalam kekalutan itu, Ghazali bermain cinta dengan majikannya, Nadia (Rita). Hubungan sulit mereka berjaya dihidu Liza sekali gus menambahkan kekecewaannya. Liza berkawan baik dengan Intan (Izreen) yang banyak mendorongnya ke arah kebaikan.

Bakal disiarkan di TV3 pada hari raya kedua nanti, telefilem ini menjalani penggambaran selama sembilan hari membabitkan beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Teguran membina

Bagi Rita, kali pertama berlakon di bawah produksi JS Pictures dan arahan Jinggo, ia memberikan satu pengalaman berbeza di samping dapat menimba ilmu baru dari segi gaya lakonan.

“Memang betul dia garang dan tegas, tetapi itu semua untuk kebaikan pelakon. Macam saya sendiri, ada ketika terlalu selesa dengan gaya lakonan sebelum ini, jadi lontaran dialog dan emosi yang disampaikan dirasakan betul, tetapi hakikatnya salah. Apabila dibetulkan, saya dapat belajar benda baru.

“Jinggo bukan setakat mengarah malah dia mengajar teknik lakonan yang betul dengan bantuan Sheila Rusly,” katanya.

Mengulas lanjut watak yang dilakonkan, Rita mengakui berfikir dua kali sebelum menerima tawaran terbabit.

“Sebelum ini saya banyak melakonkan watak wanita lembut dan baik. Jadi apabila diberikan watak antagonis, saya rasa kurang yakin. Bimbang nanti emosi tidak sampai.

“Selepas diberikan skrip dan membacanya, masih terfikir boleh atau tidak saya lakonkan watak Nadia. Malah, saya jadi gementar,” katanya.

Rita turut menjelaskan ini adalah gandingan pertama­nya dengan Amar dan Elizad.

“Apabila mendapat tawaran, saya tidak tanya siapa pelakon lain sebab tahu pilihan Jinggo dan Sheila tidak pernah salah. Walaupun pertama kali bekerjasama, kami tidak ada masalah.

“Mereka OK dan sangat profesional. Malah, sebelum masuk lokasi sudah bersedia sepenuhnya. Itu semua membantu dan memudahkan kerja semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Amar yang mula dikenali menerusi drama Setia Hujung Nyawa menyifatkan bekerja dengan Rita sangat mudah.

“Saya sudah banyak kali berlakon dengan Izreen dan Elizad. Apabila dipertemukan dengan Rita, kami cepat serasi. Tambahan pula Rita sangat memberi dalam cerita ini. Saya gembira berlakon dengan mereka,” katanya.

Amar turut menjelaskan dia selesa bekerja di bawah arahan Jinggo kerana sudah biasa menjayakan drama terbitan JS Pictures.

“Terima kasih kepada Jinggo dan Sheila kerana percayakan bakat saya. Mereka banyak membantu mening­katkan mutu lakonan saya,” katanya.

Elizad pula menjelaskan sudah lama teringin berlakon di bawah arahan Jinggo dan gembira apabila hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Selain skrip yang bagus, salah satu sebab kenapa saya terima tawaran ini adalah kerana Jinggo. Dari dulu saya mahu bekerja dengannya.

“Bukan apa, setiap pengarah mempunyai cara berbeza bagi membentuk watak pelakon.

“Saya percaya sentuhan Jinggo. Ramai kata Jinggo dan Sheila garang. Pada saya, apa yang mereka lakukan bagus untuk menjadikan pelakon itu lebih berkualiti,” katanya.

Elizad bagaimanapun mengakui hilang fokus pada hari pertama kerana tidak tahu rentak kerja Jinggo, namun selepas diberi tunjuk ajar segalanya menjadi lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 11:55 AM