JINGGO (berdiri enam dari kiri) bersama barisan pelakon dan kru.
JINGGO (berdiri enam dari kiri) bersama barisan pelakon dan kru.
JINGGO mengetengahkan beberapa teknik baru dalam pengarahan untuk drama ini.
JINGGO mengetengahkan beberapa teknik baru dalam pengarahan untuk drama ini.
SHEILA turut membantu suaminya di lokasi selain melakonkan watak ibu kepada Azira.
SHEILA turut membantu suaminya di lokasi selain melakonkan watak ibu kepada Azira.
Sudirman Mohd Tahir


Kredibiliti syarikat penerbitan JS Pictures Sdn Bhd dalam menerbitkan sesebuah karya tidak perlu dipertikai.

Boleh dikatakan satu persatu drama yang dihasilkan berjaya mencatat jumlah tontonan tinggi sekali gus mampu melonjakkan nama pelakon.

Terbaru syarikat yang diterajui Azman Yahya atau lebih dikenali sebagai Jinggo bersama isterinya pelakon Sheila Rusly bakal tampil dengan drama berjudul Mr Donat Karamel.

Drama lakonan Hafidz Roshdi dan Azira Shafinaz ini bakal mengisi slot Lestary yang pernah menampilkan drama Kau Aku Kita sehingga diangkat sebagai Drama Pilihan pada malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2016).

Bagi Jinggo, dia menjadikan drama Kau Aku Kita itu sebagai penanda aras agar drama terbaru ini boleh setanding atau berada di tahap lebih membanggakan.

“Drama Kau Aku Kita dan Mr Donat Karamel berbeza jalan cerita. Cuma ia masih mengekalkan ‘mood’ dan konsep sama iaitu dengan memaparkan kehidupan remaja. Kedua-dua drama ini mempunyai kekuatan tersendiri.

“Malah dari segi pemilihan watak utama juga, saya yakin kedua-duanya mampu mengikat perhatian penonton. Namun, sebagai pengarah saya berasakan Mr Donat Karamel lebih menarik.

“Masakan tidak, apabila membaca skrip, mengarah dan melihat setiap babak yang dilakonkan mampu buat saya tersenyum sendiri. Disebabkan itu saya berani mengatakan drama ini boleh pergi jauh. Sekurang-kurangnya sambutan yang bakal diterima sama dengan Kau Aku Kita atau lebih lagi,” katanya.

Sambung Jinggo, selain jalan cerita dan beberapa pembaharuan yang dikete­ngahkan dalam pengarahannya, drama ini turut memperkenalkan pelakon baru.

Dengan bantuan isterinya di lokasi, ia sedikit sebanyak memudahkan kerja dari segi teknik lakonan dan penghayatan watak.

“Apabila kami diberi tanggungjawab ini daripada stesen televisyen, saya menganggap ia satu amanah. Justeru saya dan pasukan perlu memberikan yang terbaik. Tidak ada istilah sambil lewa atau main-main biarpun ia bukan bergenre drama berat.

“Saya dan isteri sentiasa percaya pelakon bagus bukan sahaja kerana bakat yang dimiliki tetapi perlu hadir dengan pakej menarik. Disebabkan itu saya berani mempertaruhkan bakat baru dalam setiap drama asal saja mereka mempunyai keinginan untuk belajar,” katanya.

Menurut Jinggo lagi, sudah menjadi kebiasaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih ketika berurusan dengan pelakon.

Jinggo berkata, tidak kira baru atau lama jika ada melakukan kesilapan depan kamera dia pasti memberi teguran.

Drama adaptasi novel yang menggunakan judul sama ini mengisahkan pe­nyatuan dua hati menerusi cinta yang tak disengajakan.

Ia memaparkan kehidupan novelis bernama Anggun Qairah (Azira Shafinaz) menulis sambil makan donat karamel di sebuah kafe setiap hari tanpa jemu. Dengan cara itu dia mendapat ilham sekali gus khusyuk dan tenggelam dalam dunia ciptaannya.

Suatu hari dia bertemu Faiq Faiqal (Hafidz Roshdi) secara tidak sengaja dalam satu kemalangan yang merosakkan segala khazanah pentingnya. Cermin mata dan komputer ribanya hancur digilis kereta.

Faiq menggantikan dua barang penting milik Anggun. Dek rabun, Anggun tidak dapat mengecam lelaki yang melanggarnya.

Sejak itu Faiq jatuh cinta pandang pertama. Demi mendekati Anggun, Faiq yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Design Dynamic Berhad sanggup menyamar sebagai Rafiqi dan bekerja di kafe Donat Karamel.

Pada masa sama, Zhariff (Idris Khan) tidak jemu mencintai Anggun meskipun Anggun dan Faiz sudah berkahwin.

Bahagiakah Anggun di sisi Faiq? Masih adakah kesabaran dalam diri Faiq untuk menempuh rumah tangga yang dibina?

Drama 16 epsisod ini bakal menemui penonton di TV3 bermula 21 Oktober ini menerusi slot Lestary.

Buat pertama kalinya drama ini menampilkan Hafidz Roshdi dan Azira Shafinaz selaku watak utama di samping beberapa pelakon popular lain seperti Idris Khan, Noniswara, Sheila Rusly, Roy Azman, Shamsul Ghau Ghau, Fimie Don serta dua pelakon baru Mona Allen serta Syazuwan Hassan (DFKL 2016).

Mudah cari keserasian

Bagi Hafidz yang melakonkan dua watak, dia mengakui sedikit sukar terutama apabila babak itu berlaku dalam tempoh masa yang sama.

“Ini pengalaman pertama saya pegang dua watak.

Ia memberi saya satu lagi cabaran baru dalam bidang lakonan. Nampak mudah, tetapi tidak. Apatah lagi kedua-dua watak berbeza pembawaannya.

“Sejujurnya saya lebih menyukai watak Rafiqi yang nakal. Watak ini lebih dekat dengan jiwa dan personaliti sebenar saya. Jadi tak susah dilakonkan,” katanya.

Mengenai gandingan­nya, pelakon drama Hajjah Heathrow ini memuji sikap Azira yang mudah memberi kerjasama.

“Kami cepat serasi. Sebelum memulakan penggambaran kami akan berbincang dan berlatih.

“Tidak susah berlakon kerana dia pelakon yang bagus,” katanya.

Sependapat dengan Hafidz, Azira menyifatkan gandingan mereka sesuatu yang luar biasa.

“Hafidz orangnya kelakar dan mudah dibawa berbincang. Pendek kata kami sekepala. Walaupun ini kali pertama berlakon bersama, tak rasa kekok. Tak susah nak mencipta keserasian cuma saya ambil masa menyesuaikan diri dengan watak Anggun.

“Dalam drama Married Tapi Benci, ramai mengkritik lakonan saya. Jadi saya mahu buktikan boleh berlakon menerusi drama ini.

“Lakonan saya ada pening­katan. Terima kasih diucapkan kepada Abang Jinggo dan Kak Shiela yang banyak menegur dan memberi tunjuk ajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 12:35 PM