Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank), menyasarkan jualan lebih RM23 juta menerusi pelancaran acara tahunan Maybank Treats Fair ke-11 di Kuala Lumpur, berbanding RM21 juta yang direkodkan pada 2014.

Ketua Perkhidmatan Komuniti Kewangan Maybank, Hamirullah Boorhan berkata, pihaknya menyasarkan 275,000 pengunjung bagi pameran kali ini berbanding 260,000 tahun lalu.

Katanya, pameran itu terbuka kepada semua pemegang kad kredit dan debit yang dikeluarkan oleh Maybank, Maybank Islamic, Maybank Singapore, BII, Maybank Filipina dan Maybank Kemboja.

“Maybank TreatsFair tidak hanya menjadi platform untuk menyediakan pelbagai manfaat kepada pemegang kad di seluruh rantau ini, malah menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi jualan dan penebusan hadiah selain menarik minat pengunjung dari rantau ini.

“Berdasarkan kejayaan pameran itu di Malaysia, kami turut mengambil konsep seperti Filipina yang pertama kali memperkenalkan TreatsFair, sekali gus mencatatkan peningkatan perbelanjaan kad sebanyak 123 peratus dan 13 peratus pendeposit,” katanya.

Legoland, Resort World Singapore dan KLCC Aquaria juga mengambil bahagian dengan pakej istimewa eksklusif untuk Ahli Kad Maybank. Pemegang kad juga akan mendapat hadiah yang dijamin bagi setiap perbelanjaan minimum sebanyak RM200 untuk Kad Ikhwan Maybank, RM500 dan RM2,000 untuk kad Maybank.

Selain itu, setiap pembelian RM300 akan melayakkan mereka berpeluang untuk memutar Roda Treats. Dengan tema ‘Hits dan Muzik’ tahun ini, acara itu berlangsung pada 11 hingga 14 Jun lalu di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.

Selain itu, menerusi #CashIsOldSkool hashtag, kempen itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penggunaan kad debit dalam kalangan generasi muda dan mahasiswa, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan pembayaran secara elektronik dan mewujudkan masyarakat tanpa tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:41 AM