Kuala Lumpur: Liberty Insurance Bhd (Liberty Insurance) optimis akan pertumbuhan perniagaannya bagi tahun ini, disokong oleh segmen insurans automotif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Tan See Dip berkata, ketika ini segmen automotif menyumbang sebanyak 75 peratus kepada pendapatan syarikat.

“Ia sememangnya bidang pertumbuhan bagi kami dan penguasaan pasaran kami dalam segmen itu ialah kira-kira lima peratus,” katanya pada sidang media selepas melancarkan imej korporat syarikat yang dijenamakan semula, di sini, semalam.

Beliau berkata, prospek positif juga didorong oleh volum industri keseluruhan (TIV) sekitar 600,000 tahun ini manakala pertumbuhan perniagaan bagi tahun ini dijangka seiring dengan pertumbuhan industri insurans iaitu antara 5.5 dan enam peratus.

Untuk masa depan, syarikat merancang menggembleng kepakaran Liberty Mutual Group ke dalam pasaran tempatan. Liberty Insurance sebelum ini dikenali sebagai Uni Asia General Insurance Bhd, diambil alih oleh Liberty Seguros, anak syarikat Liberty Mutual Group yang berpangkalan di Boston.

Pembelian 87 peratus kepentingan syarikat itu selesai pada Julai tahun lalu. Penyedia insurans itu mencatat premium bertulis kasar RM420 juta dan keuntungan sebelum cukai RM57 juta dalam sembilan bulan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. Sebelum pengambilalihan itu, Liberty Insurance mengubah akhir tahun kewangannya daripada Mac kepada Disember. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:53 AM