KOTA KINABALU: Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah menyerahkan 27 senarai nama pendaki pelancong asing kepada polis untuk disiasat selepas tersiarnya gambar pelancong berkelakuan tidak senonoh di kawasan South Peak, Gunung Kinabalu pada Ahad lalu.

Pengarahnya Dr Jamili Nais berkata 10 daripada pendaki itu, termasuk empat wanita daripada kumpulan pendaki warga Eropah berbogel di kawasan berkenaan walaupun telah dihalang oleh Malim Gunung.

"Walau bagaimanapun pendaki asing terbabit mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Malim Gunung berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, Taman-Taman Sabah belum dapat memastikan identiti mereka yang terlibat atau sama ada masih berada di negara ini.

Jamili berkata, kejadian itu dipercayai sebahagian daripada ikutan segelintir pelawat Eropah yang bertindak berbogel di kawasan dunia yang dianggap sebagai tempat suci.

Berikutan insiden itu, Taman-Taman Sabah mengambil tindakan susulan iaitu meminta surat tunjuk sebab daripada Malim Gunung yang terlibat atas kegagalan melaporkan insiden tersebut dengan segera kepada pihak Taman-Taman Sabah.

Beliau berkata, semua Malim Gunung juga diarahkan untuk memasukkan dalam taklimat pendakian mereka mengenai larangan berkelakuan tidak senonoh di Gunung Kinabalu dan memasang papan tanda pemberitahuan mengenai larangan ketika berada di Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu adalah puncak tertinggi di Malaysia dan puncak tertinggi di Asia Tenggara yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut.

Ia dianggap sebagai kawasan yang suci oleh masyarakat Kadazan Dusun kerana dipercayai mempunyai semangat 'Bobohizan'.

Setiap pendaki perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan terutama dari segi perbuatan, tidak mengeluarkan perkataan yang kasar, mengambil atau merosakkan tumbuhan yang berada dikawasan tersebut. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 12:41 AM