IESYA (kanan) dan Mohd Huzairee pada majlis pernikahan mereka. FOTO Adi Safri
IESYA (kanan) dan Mohd Huzairee pada majlis pernikahan mereka. FOTO Adi Safri
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Majlis perkahwinan pengacara Selamat Pagi 1Malaysia Iesya Toh, 32, bersama ahli perniagaan Mohd Huzairee Muhamad, 34, yang berlangsung pagi tadi dan Ahad ini mendapat penajaan mencecah RM5 juta.

Iesya ketika ditemui berkata, rantai yang digayakan ketika majlis akad nikah hari ini harganya menyamai kereta Ferrari manakala harga persalinan yang digunakan pada majlis itu mencecah RM300,000.

Menurutnya, secara keseluruhan majlis perkahwinan Iesya merangkumi majlis berinai, bersanding dan bertandang mendapat tajaan daripada 57 syarikat.

Dalam majlis pernikahan di Wisma Berita Angkasapuri, di sini, pagi tadi, Iesya menerima mas kahwin sebanyak RM1,001 dan wang hantaran berjumlah RM50,000 beserta tujuh dulang hantaran manakala pihak Iesya membalas dengan sembilan dulang.

Selain itu, Iesya juga menerima insuran kesihatan dan simpanan bernilai RM1 juta sebagai hadiah perkahwinannya.

"Saya tidak minta semua itu. Apa yang diberikan adalah atas perbincangan bersama. Suami saya orangnya mudah. Kalau dia okay, saya pun okay. Tidak ada langsung niat untuk menunjuk-nunjuk," katanya ketika ditemui selepas majlis pernikahannya.

Mereka dinikahkan Imam 1 Masjid An Nur Saujana Utama, Sungai Buloh, Ustaz Mohd Yusof Abdullah berwakil walikan bapa Iesya, Sanny Toh Abdullah dalam majlis yang diadakan di Wisma Berita Angkasapuri, di sini.

Majlis persandingan akan diadakan di lokasi yang sama Ahad ini.

Berita Berkaitan

Iesya Toh sah bergelar isteri: http://hmtro.com/1EBYRiH

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 5:12 PM