PASANGAN pekerja seks dan pelanggan lelaki yang ditahan di dalam bilik di pusat hiburan.
PASANGAN pekerja seks dan pelanggan lelaki yang ditahan di dalam bilik di pusat hiburan.
PEKERJA seks dan pelanggan dikumpulkan di satu tempat. Serbuan yang dijalankan selama beberapa bulan masih dirasai kesannya setahun kemudian.
PEKERJA seks dan pelanggan dikumpulkan di satu tempat. Serbuan yang dijalankan selama beberapa bulan masih dirasai kesannya setahun kemudian.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Jika Han Yulai, ahli perniagaan di Dongguan di selatan China, mempunyai pelanggan yang mahu melawat kilang atau pameran perdagangan di bandar itu, dia akan menawarkan pelanggannya ‘standard Dongguan’.

Pada waktu petang, Han akan membawa pelanggannya ke KTV, pusat hiburan karaoke yang sinonim dengan perkhidmatan seks.

‘Mamasan’ panggilan seorang wanita yang menjalankan perniagaan di rumah pelacuran akan mengaturkan sedozen wanita muda tempatan, Jepun, Korea dan Russia.

“Anda boleh pilih satu atau dua, menyanyi dan minum sambil berseronok kemudian naik ke bilik di tingkat atas untuk urusan ‘perniagaan’. Bukan berkasih sayang, tetapi perniagaan,” kata Han yang menggunakan nama samaran itu bagi menjalankan aktiviti pelacuran yang menyalahi undang-undang di China.

Namun, hari ini perniagaan sedemikian menjadi semakin sukar.

Pada Februari 2014, kerajaan melancarkan tindakan keras ke atas perdagangan seks di Dongguan yang digelar ‘Sin City’ China.

Menurut media tempatan, lebih 2,000 hotel, sauna dan rumah urut yang dibuka untuk pekerja asing dan pengunjung yang membeli-belah di bandar ini ditutup.

Beribu-ribu ditangkap, termasuk pengusaha dan penganjur pelacuran selain pegawai kanan dan pegawai polis korup. Timbalan datuk bandar Dongguan yang juga ketua biro keselamatan awam, Yan Xiaokang dilucutkan jawatannya.

Daerah lampu merah yang kosong

Di hotel penulis, bangunan empat bintang yang tersergam di tengah-tengah Houjie, salah satu daripada tempat pelacuran itu, pusat urut dan sauna masih ditutup.

Begitu juga spa dan kemudahan KTV di hotel lain sekitar kawasan itu.

Di jalanan, tidak seorang pun ‘xiaojie’ ditemui (perkataan slanga Cina untuk pelacur). Dalam kedai gunting rambut, yang biasanya pelanggan ditawarkan perkhidmatan seks, ia tidak berlaku lagi.

Lin Jiang, profesor kewangan dan cukai awam di Universiti Sun Yat-Sen, Guangzhou, menganggarkan serbuan terbabit menghapuskan sebanyak RM29.32 bilion untuk perniagaan termasuk hotel, kedai dan restoran. Ia adalah sebahagian pendapatan bandar Dongguan dalam 2014.

“Memang mustahil untuk mengetahui jumlah sebenar kerugian kerana pegawai terbabit merahsiakan.

“Kami hanya boleh anggarkan, tetapi tidak mempunyai data untuk membuktikannya.

“Kempen ini mencalar imej bandar terbabit,” katanya kepada CNN.

Ahli perniagaan, Han turut bersetuju.

“Kami kekurangan pelanggan yang datang ke Dongguan berbanding setahun lalu,” ujar Han.

Aktiviti bawah tanah

Meskipun, rumah-rumah lampu merah di Dongguan tiada, ini tidak bermakna industri seks pupus sebaliknya perdagangan berlangsung di bawah tanah.

Ada beberapa cara lain bagi mengelak dikesan termasuk menggunakan orang tengah dan mamasan.

Untuk mendapatkan kenalan adalah lebih mudah seperti yang penulis alami.

Pada satu malam ketika balik ke hotel, saya ditegur budak lobi. “Anda suka urutan?” dia berta­nya dengan senyuman nakal.

Untuk RM586.45 penulis ditawarkan selama 90 minit dalam bilik dengan ‘dua perempuan cantik Cina’. Dia berikan nombor telefonnya.

Sebelum pintu lif tertutup, dia kenyitkan mata dan membuat isyarat tangan yang agak bersifat lucah mencadangkan jenis perkhidmatan seks.

Pemandu hotel turut menawarkan khidmatnya. Sewaktu memandu di lebuh raya yang sibuk, dia berpaling dan berkata “anmo, anmo?” bermakna urutan dalam dialek China dan membuat isyarat lucah dengan jarinya. Penulis berkata, akan fikirkan mengenainya dan dia memberikan kad perniagaannya.

Kurang dalam sehari, penulis mengenali dua bapa ayam tempatan yang menawarkan perkhidmatan pelacuran.

Kebergantungan media sosial

Aplikasi media sosial digunakan untuk membekalkan wanita terutama khidmat pesanan segera menerusi WeChat.

Dengan mencari ‘Orang berdekatan’ dan pilih ‘Perempuan saja’ anda akan mendapat senarai pengguna WeChat di kawasan itu.

Media Cina melaporkan, perdagangan seks dipercayai beralih kepada perkhidmatan rumah ke rumah dan janji temu telefon dan ketika berjalan-jalan penulis tidak bertemu pekerja seks.

Risiko besar

Sebelum kerajaan mengambil tindakan, ada lebih 250,000 pekerja seks di Dongguan. Kini, pekerja seks berisiko lebih besar melalui aktiviti bawah tanah.

“Pekerja seks selalu didera pelanggan dan polis,” kata Ann Lee, jurucakap untuk Zi Teng kumpulan hak asasi pekerja seks yang berpangkalan di Hong Kong.

Human Rights Watch menerusi laporan 2013 mengakui pekerja seks di China menjadi subjek penganiayaan serius, termasuk keganasan polis dan ujian HIV paksaan.

Akhbar Parti Komunis Cina, Global Times yang memetik People’s Daily berkata, tindakan keras itu akan membasmi industri itu termasuk kebebasan seksual.

Lee berharap satu hari nanti perdagangan seks boleh menjadi ‘satu aktiviti perniagaan biasa’ dengan peraturan dan kawalan lebih sihat tetapi di China, ia hanya mimpi dan masih terlalu kontroversi.

Viagra

Menurut media China, kebanyakan tempat hiburan yang ditutup kini dibenarkan beroperasi semula dan peraturan yang lebih ketat berkuat­kuasa sejak April lalu.

Peraturan baru termasuk mengharamkan perkhidmatan urut dalam bilik dengan lampu dimatikan, memperkenalkan tetamu yang bermalam kepada polis tempatan dan melarang pekerja menawarkan perkhidmatan dari rumah urut.

Namun, farmasi tempatan di daerah lampu merah terus memaparkan iklan jualan viagra asli dan tiruan.

Ahli farmasi ketawa apabila ditanya sama ada masih wujud permintaan untuk pil itu. “Ya, terutamanya di waktu malam,” katanya. - Johan Nylander, CNN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 1:49 PM