Agensi

Beijing: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa dikejarkan ke hospital selepas direnjat akibat membuang air kecil di pencawang elektrik di wilayah Shaanxi.

Ayah kanak-kanak itu dikenali sebagai Fang berkata mangsa, Hao Hao yang datang melawatnya di Xi’an tiba-tiba rasa mahu membuang air ketika menunggu bas dan memilih struktur berkenaan kerana disangka tandas awam.

Malangnya ‘jamban’ itu sebenarnya pencawang elektrik 10,000 volt yang ditutup kain, tidak ubah seperti langsir tingkap.

“Dua minit selepas dia meninggalkan saya untuk ke tandas saya terdengar bunyi menggeresek sebelum melihat asap dari arahnya.

“Saya terus lari ke situ namun Hao Hao sudah terbaring dan sebahagian badannya terbakar. Saya terus mengoyakkan bajunya dan menghentikan teksi untuk membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui.

Pemandu teksi bernama He berkata, dia melanggar empat lampu merah ketika dalam perjalanan ke hospital semata-mata mahu memastikan Hao Hao dapat diselamatkan.

Kanak-kanak malang itu masih dalam keadaan kritikal selain mengalami lecuran teruk di seluruh badannya.

Otot dan saraf tangan kirinya juga rosak teruk menyebabkan anggota badannya itu terpaksa dipotong.

“Kami cuma orang kampung. Mungkin pada anak saya, perbuatan kencing di tepi jalan tidak sopan. Namun dia hanya budak, manalah dia tahu tempat itu sebenarnya pencawang elektrik?” kata Fang.

Polis masih menyiasat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 11:10 AM