Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Edisi kelima sambutan Hari UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) Malaysia 2015 akan disambut secara besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 hingga 24 Mei ini.

Edisi bertemakan ‘Kebersamaan’ yang dianjurkan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) di bawah Kementerian Pendidikan itu bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selain turut dihadiri Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang juga Naib Presiden SKUM berkata, Hari UNESCO Malaysia disambut setiap tahun bagi memberi kesedaran dan mempromosikan peranan UNESCO dalam memastikan pembangunan mampan, membasmi kemiskinan, menggalakkan dialog antara budaya dan memelihara keamanan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, menggunakan tema ‘Kebersamaan’, sambutan kali ini bermatlamat menyatupadukan masyarakat pelbagai latar belakang ciri-ciri unik dan pada masa sama, membabitkan generasi muda untuk memelihara dan membangunkan warisan yang masih ada di Malaysia.

“Penganjuran kali ini bertempat di lokasi paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur iaitu Dataran Merdeka malah, ia dikelilingi beberapa bangunan warisan dan bersejarah iaitu Bangunan Abdul Samad, Panggung Bandaraya, Kelab Diraja Selangor, Pasar Seni, Medan Pasar, Dataran Coliseum dan Masjid Jamek.

“Justeru, orang ramai dijemput hadir malah, mereka boleh bersantai di tengah kota dengan disajikan pelbagai aktiviti berunsurkan keseniaan, kebudayaan dan warisan selama tiga hari,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman Hari UNESCO Malaysia 2015 di sini, semalam.

Katanya, sambutan kali ini mempunyai sesuatu yang baru dan pasti menarik perhatian setiap orang yang hadir dan pada masa sama, membantu meningkatkan pengetahuan mereka mengenai sejarah pembangunan Malaysia.

Dr Madinah berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk program instalasi seni visual daripada produk kitar semula; pertandingan lukisan kapur jalanan; persembahan Star Wars dalam Wayang Kulit; persidangan Asean Puppetry dan pertandingan Amazing Heritage Race - Warisan Bersama dan persembahan seni budaya oleh Universiti Awam (UA). Menurutnya, penganjuran program di sekitar lokasi paling ikonik di sekitar Dataran Putrajaya juga menjadi satu platform terbaik untuk bekerjasama dengan pelbagai kumpulan inovatif sosial di negara ini. “Hari UNESCO Malaysia 2015 turut disambut dengan kerjasama Kementerian Luar; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan Hari UNESCO Malaysia 2015 boleh melayari laman Facebook Hari UNESCO Malaysia 2015 atau hastag #myUNESCO2015 di laman sosial media.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 3:15 PM