PROF Dr Gijze (kiri) menyerahkan Watikah Pengiktirafan Banjaran Crocker sebagai Rizab Biosfera MAB kepada Timbalan Menteri Pelancongan Sabah, Pang Yuk Min (kanan) sambil disaksikan Muhyiddin  pada Hari UNESCO Malaysia di Kuala Lumpur.
PROF Dr Gijze (kiri) menyerahkan Watikah Pengiktirafan Banjaran Crocker sebagai Rizab Biosfera MAB kepada Timbalan Menteri Pelancongan Sabah, Pang Yuk Min (kanan) sambil disaksikan Muhyiddin pada Hari UNESCO Malaysia di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Malaysia mahu bertanding menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk penggal 2015-2019.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, misi UNESCO sentiasa menjadi inspirasi untuk Malaysia komited dalam memastikan pembangunan lestari, menggalakkan dialog antara budaya dan memastikan keamanan berterusan.

Beliau menegaskan, Malaysia percaya kepelbagaian adalah satu kekuatan dan dengan penyatuan dalam perbezaan peringkat global, negara ini berupaya menjadi tulang belakang bagi memastikan kestabilan demi kemanusiaan sejagat yang lebih baik.

“Malaysia tersenarai sebagai negara penyumbang melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MLJCP) dan kerana itu tahun depan adalah landasan terbaik untuk kita terbabit secara langsung dengan agenda UNESCO dengan menduduki kerusi Lembaga Eksekutif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari UNESCO Malaysia 2014 di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Bertemakan Warisan Kita Warisan Dunia, pelbagai pameran berkaitan pencapaian dan pembabitan negara diadakan selama dua hari mulai semalam dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).

Sejak menganggotai UNESCO pada Jun 1958, Malaysia menduduki kerusi lembaga itu lima kali iaitu tahun 1978 hingga 1983, 1987-1991, 1993-1997, 1999-2003 dan 2007 hingga 2011.

Lembaga Eksekutif UNESCO dianggotai 58 negara, masing-masing selama empat penggal.

Khamis lalu, Malaysia dipilih sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB bagi tempoh 2015 hingga 2016.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, negara ini berbangga dengan pengiktirafan kawasan perlindungan terbesar di Sabah dengan keluasan 350,584 hektar iaitu Banjaran Crocker, diiktiraf sebagai Tapak Rizab Biosfera Dunia.

Beliau berkata, itu ialah kejayaan kedua negara selepas Tasik Chini, Pahang memperoleh pengiktirafan sama sebelum ini.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin menerima watikah pengiktirafan Banjaran Crocker berkenaan daripada Pengarah Pejabat Serantau UNESCO Prof Dr Hubert Gijzen.

Sehingga kini, terdapat 621 rizab biosfera dalam jaringan rizab biosfera dunia yang merangkumi 117 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:09 AM