Azlan Muhammad Zain dan Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur : Agak memeranjatkan apabila hanya ada dua sahaja akademi bola sepak disahkan berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan berbanding beribu akademi yang wujud di seluruh negara ketika ini.

Lantas ia menimbulkan seribu persoalan mengenai status sebenar akademi yang ada ketika ini sama ada ‘halal’ atau ‘haram’ serta dimanakah pemantauan dilakukan pihak berwajib mengenai ‘lambakan’ akademi ini.

Menurut Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman, hanya akademi bola sepak Mega Star sahaja direkodkan berdaftar bagi kategori akademi swasta manakala akademi bola sepak Mohktar Dahari pula di bawah kelolaan kerajaan.

“Saya sahkan di sini hanya akademi bola sepak Mega Star satu-satunya yang berdaftar dengan kami. Tidak ada akademi bola sepak lain dalam senarai ketika ini, jika ada pengusaha akademi kata mereka berdaftar bawah kami ianya tidak benar.

“Kemungkinan mereka berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana biasanya akademi ditubuhkan untuk tujuan mencari keuntungan berbanding kami yang ditugaskan selaku penguasa untuk badan sukan tempatan.

“Saya nafikan pihak yang mengaitkan Pesuruhjaya Sukan terbabit dengan penubuhan akademi ketika ini,” katanya semalam.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan kebimbangan ibu bapa yang mendakwa beberapa akademi bola sepak hanya sibuk memikirkan keuntungan berbanding meningkatkan tahap permainan pemain muda, biarpun sudah berhabis duit untuk melihat anak mereka meningkat dalam permainan bola sepak.

Malah, ibu bapa juga turut ditipu pihak akademi apabila mendakwa anak mereka dipinggirkan kerana pihak akademi lebih memberi fokus kepada pemain yang sedia bagus serta sanggup mengambil orang luar untuk menyertai pertandingan demi mengejar kemenangan.

Tambah Zaiton lagi, senario yang berlaku kini mungkin disebabkan kekeliruan berlaku kepada pengusaha akademi yang tidak memahami cara-cara menubuhkan sesebuah akademi.

“Dulu sebelum Pesuruhjaya Sukan wujud, memang semua akademi wajib didaftarkan di bawah SSM. Namun selepas Pesuruhjaya Sukan dibentuk, semua entiti berkaitan sukan diarah berdaftar bersama kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:56 AM