MANGSA meninggal selepas terjatuh melalui saluran sampah. FOTO ihsan polis
MANGSA meninggal selepas terjatuh melalui saluran sampah. FOTO ihsan polis
Oleh Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas terjatuh melalui saluran sampah dari tingkat 17 kediamannya di flat Sri Sabah, Cheras, 7.58 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pihak hospital yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

"Waris mangsa yang ditemui di PPUKM memaklumkan mangsa sering mabuk dan ada berselisih faham dengan isterinya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum kejadian pagi tadi abang mangsa tidak membenarkannya keluar dan mengunci pintu rumah kerana bimbang dia keluar minum arak.

"Bagaimanapun, mangsa bertindak keluar melalui saluran sampah sebelum ditemui di tingkat bawah bangunan oleh orang ramai.

"Pemeriksaan polis pada tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Beliau berkata, akibat terjatuh dari tempat tinggi itu mangsa mengalami kecederaan patah tengkok, kaki dan luka di bahagian tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:51 PM