Muaz pamer permainan menyakinkan. FOTO MTBC
Muaz pamer permainan menyakinkan. FOTO MTBC
Meor Riduwan Meor Ahmad


LEBIH banyak kejayaan diharap mampu diraih atlet boling elit negara, Ahmad Muaz Fishol pada masa depan.

Bagi ketua jurulatih tenpin boling, Holloway Cheah beliau yakin kemampuan atlet berusia 26 tahun itu yang muncul juara Terbuka Masters kategori lelaki dalam Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-40, semalam.

Beliau berkata, kejohanan Terbuka Malaysia amat mencabar dan setiap peserta final memiliki peluang seimbang untuk menjadi juara.

"Saya beritahu awal perlawanan amat terbuka. Hanya mereka yang mempunyai kekuatan mental yang kuat mampu bersaing.

"Dia (Ahmad Muaz) melakukan kesilapan tapi berjaya mengatasinya untuk menang. Harap lebih banyak kejayaan diraih selepas ini," katanya selepas menyaksikan kejohanan itu.

Ditanya mengenai kejutaan dilakukan Ahmad Muaz ketika harapan diletakkan kepada rakan elit lain, Holloway berkata, atlet terbabit pernah menjadi antara pemain boling hebat sebelum ini.

"Namun kerana pertukaran teknikal dia tidak begitu menyerlah.

Sekarang dia membuktikan kemampuan sebenar," katanya. Ahmad Muaz menang ke atas Sam Cooley dari Australia dengan 219-193 jatuhan pin di Sunway Mega Lanes.

Terdahulu, dia tewas 214-233 jatuhan pin kepada Cooley dalam cubaan pertama saingan step-ladder, namun selaku pendahulu pusingan kedua final terbuka lelaki, dia mendapat peluang satu lagi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 7:55 PM