Jakarta: Satelit A NOAA-18 mengesan sekurang-kurangnya 187 titik panas atau kawasan kebakaran di hutan serta ladang di Kalimantan Tengah, lapor agensi berita Indonesia, Antara.

“Jumlah terbanyak titik panas iaitu 34 semuanya dikesan di Kotawaringin Timur,” kata jurucakap, Ananto Setiawan.

Menurutnya, titik panas turut dikesan di Katingan, Kotawaringin Barat (25), Kotawaringin Timur (34), Kapuas (30), Palangka Raya (19), Gunung Emas (5), East Barito (7) dan North Barito (5).

Menurutnya, jumlah berkenaan jauh berkurangan berbanding 1,632 titik panas dikesan aktif di antara 1 hingga 23 September lalu.

Ananto memberitahu, skuad Mangala Agni kini sedang memantau titik panas berkenaan dan cuba untuk memadam kebakaran.

“Kami sedang berusaha sebaik mungkin. Tapi, jika petani terus membakar hutan di kawasan itu untuk tujuan pertanian, sukar untuk mengawal asap di Kalimantan Tengah,” katanya.

“Jerebu menggangu kehidupan kami,” kata penduduk tempatan, Ardiawan, 34.

Dia yang bekerja di syarikat penghantar melahirkan keresahannya mengenai jerebu berkenaan yang jelas mengancam kesihatan.

Wartawan Antara turut memantau jerebu yang menyelubungi Pekanbaru dan keadaan berterusan sehingga mengehadkan jarak penglihatan pengguna jalan raya.

Timbalan Gabenor Riau, Kasiarudin, pula menjelaskan pihak berkuasa sedang melakukan apa yang terdaya untuk mengatasi jerebu daripada merebak.

“Kita juga sudah menubuhkan agensi yang melaporkan keadaan terus kepada gabenor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 September 2014 @ 12:20 AM