Basaruddin (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada finalis anugerah francais 2014, semalam.
Basaruddin (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada finalis anugerah francais 2014, semalam.

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengunjurkan pertumbuhan lima peratus bagi industri francais yang dijangka menyumbang antara RM26 dan RM27 bilion kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) Datuk Basaruddin Sadali berkata, menerusi peruntukan RM20 juta yang diberi kerajaan, pihaknya mengembangkan perancangan francais bagi menembusi pasaran Timur Tengah, China dan India menjelang tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang memasuki negara yang belum diterokai membabitkan Turki, Kazakhstan, Uzbekistan, Korea dan Afrika dengan membawa produk halal termasuk makanan serta perkhidmatan seperti pendidikan.

“Strategi yang bakal dilakukan untuk melaksanakan program ini ialah meningkatkan daya maklumat francaisor supaya mampu menarik francaisi di luar negara.

“Kita juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk terbabit dengan ekspo di luar negara untuk mengetengahkan francaisor dan francaisi,” katanya pada sidang media pengumuman calon akhir bagi Anugerah Francais Malaysia 2014 (AFM 2014), di sini, semalam.

Anugerah yang dianjurkan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama KPDNKK bakal berlangsung Jumaat ini yang menyaksikan 15 jenama francais tempatan dan antarabangsa.

Basaruddin berkata, 59 jenama francais tempatan berkembang ke 54 negara asing dengan mewujudkan sejumlah 2,348 cawangan.

Menurutnya, sehingga kini, 748 sistem francais daripada pelbagai sektor berdaftar dengan sejumlah 7,405 perniagaan francaisi yang diwujudkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:14 AM