Kuala Lumpur: Analisis kajian oleh Jobstreet.com pada prospek pekerjaan bagi suku kedua tahun 2015 menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 27 peratus menjadikan jumlah kepada 41 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 14 peratus dalam tempoh yang sama di mana majikan di Malaysia tidak mengambil pekerja dan menjadikan pelaksaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai faktor utama.

Pengurus Negaranya, Chook Yuh Yng berkata, walaupun sentimen dan ramalan yang tidak menggalakkan peluang kerja yang masih tinggi dengan purata lebih 20,000 pembukaan pekerjaan di JobStreet.com.

“Suku pertama 2015 juga menunjukkan pertumbuhan penyiaran kerja serta jumlah pengiklan yang unik sebanyak empat peratus dan enam peratus masing-masing yang menunjukkan bahawa pasaran kerja masih berdiri kukuh.

“Data JobStreet.com pada suku pertama tahun 2015 juga membuktikan industri perkilangan masih menguasai pasaran kerja dari segi bilangan pengeposan pekerjaan diikuti perbankan dan perkhidmatan kewangan, jualan dan pemasaran, setiausaha dan admin serta ICT dan pemasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pameran kerjaya, di sini, semalam.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi institusi bagi tahun 2015, beliau berkata, 69 peratus menyatakan terdapat halangan besar dalam mencari calon sesuai untuk jawatan tertentu. Manakala 49 peratus menyifatkan kebanyakkan antara mereka meminta gaji yang terlalu tinggi.

“Untuk menempuh alam pekerjaan, individu itu perlulah bersedia daripada aspek keyakinan, komunikasi, pengetahuan am dan banyak lagi supaya majikan yakin untuk menerima mereka sebagai seseorang yang bakal membawa kepada kejayaan organisasi,” tambahnya.

Terdahulu, majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Pengarah Tenaga Kerja, Paezah Rosdi disaksikan Pengarah Urusan AIC Exhibitons Sdn Bhd, Datuk William Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif SEEK Asia, Peter Everingham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 7:48 AM