Oleh Irfan Khairi

Ingin memulakan perniagaan Internet? Ia tidak semudah seperti yang sering digembar-gemburkan. Apa saja bidang yang inginkan kejayaan memerlukan usaha. Kalau tiada usaha, tiadalah duitnya.

Ketika memulakan perniagaan Internet lebih 15 tahun lalu, saya sendiri juga tidak lari daripada melakukan kesilapan dalam perniagaan. Maklumlah, masih setahun jagung dalam berniaga, apatah lagi di Internet. Kesilapan itu mengakibatkan saya hanya mendapat tiga pelanggan saja dalam jangka masa satu tahun.

Bak kata orang, kesilapan adalah guru terbaik. Apabila mempelajari cara dan teknik berniaga secara dalam talian yang betul, perlahan-lahan hasilnya mula berbuah daripada tiga pelanggan setahun menjadi tiga pelanggan setiap hari!

Kini, saya amat bersyukur kerana dapat membantu lebih ramai lagi usahawan memulakan perniagaan di Internet. Namun, daripada pengalaman saya memantau beribu-ribu usahawan Internet, saya dapati terdapat tujuh kesilapan utama yang mengakibatkan perniagaan Internet gagal. Jadi, sekiranya anda ingin memulakan perniagaan Internet, pastikan anda ambil nota!

Berikut antara kesilapan perniagaan Internet yang dilakukan oleh usahawan Internet. Mudah-mudahan kita tidak melakukannya.

1. Tidak melakukan promosi

Hampir 96 peratus perniagaan akan gagal. Punca utamanya adalah tidak melakukan promosi. Ada pepatah Inggeris berbunyi ‘Build it and they will come’ merujuk kepada zaman dulu, kalau dibina sebuah kota, nanti orang ramai akan datang menghuni kota berkenaan. Tetapi, pepatah ini tidak boleh digunakan di Internet. Sekiranya anda bina laman web, orang tidak akan datang melawat laman web anda oleh kerana tiada siapa tahu kewujudannya!

Promosi perniagaan Internet perlu dilakukan secara berterusan. Lakarkan perancangan setiap hari atau setiap minggu mengenai teknik promosi yang anda perlu lakukan untuk mengumumkan laman web anda kepada semua. Apabila orang tahu kewujudan laman web anda, barulah mereka akan datang!

2. Tidak memberi maklumat yang mencukupi di laman web

Orang ramai inginkan maklumat yang lengkap sebelum membuat keputusan untuk membeli. Maklumat bukan saja mengenai produk yang dijual, tetapi juga berkaitan syarikat, kaedah pembelian, pemilik dan cara untuk dihubungi yang lengkap. Di Internet, kepercayaan adalah penyebab utama sama ada seseorang itu membeli daripada anda ataupun tidak.

Maklumat yang tidak lengkap hanya akan menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap prospek anda dan mereka pun tidak akan ragu-ragu untuk beredar dan tidak membeli!

3. Lambat dalam membalas

Di Internet, siapa cepat dia dapat. Pelanggan dan prospek inginkan perkhidmatan dengan pantas, inginkan balasan soalan mereka dengan cepat dan mahu segala-galanya berlaku dengan lancar. Ini adalah apa yang dikehendaki di Internet, lebih-lebih lagi pada zaman yang serba pantas kini.

Kelewatan membalas e-mel, komen di Facebook atau sebarang pertanyaan bakal pelanggan akan mengakibatkan anda kehilangan pelanggan. Sebaiknya, usahawan Internet perlu lakukan segala-galanya dengan pantas tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan. Tindakan pantas akan memberi pulangan yang pantas juga.

4. Tidak mengemas kini blog

Bagi anda yang memiliki blog, blog yang tidak aktif tidak akan dapat mengundang pelawat. Di Internet, pelawat perlu melawati sesuatu laman web berkali-kali sebelum terbinanya kepercayaan dan keyakinan. Blog adalah satu cara memberi sebab untuk pelawat datang berulang kali bagi mendapat maklumat terbaru.

Namun, blog yang tidak dikemas kini (sekurang-kurangnya seminggu sekali), tidak akan mendapat pelawat berulang. Kalau memiliki blog, pastikan anda mengemas kini blog anda!

5. Hanya fokus kepada satu cara promosi

Terdapat pelbagai kaedah promosi perniagaan Internet sama ada melalui e-mel, blog, Facebook, enjin pencari, pengiklanan dan sebagainya. Ada juga usahawan Internet yang hanya fokus kepada satu kaedah saja, contohnya hanya fokus kepada jualan di Facebook.

Walaupun cara ini tidak salah, namun anda seolah-olah melepaskan peluang untuk mendapat lebih ramai pelanggan kerana tidak menggunakan kaedah yang lain.

Sekiranya hanya promosi menggunakan Facebook, tetapi pesaing anda promosi menggunakan Facebook, blog, e-mel dan enjin pencari, agaknya siapa yang akan mendapat pelanggan dan keuntungan yang lebih? Pastinya pesaing anda!

6. Melakukan ‘spamming’

‘Spamming’ bererti melakukan promosi di tempat yang tidak sepatutnya tanpa kebenaran. Sebagai contoh, promosi perniagaan di Facebook milik orang lain, iklankan perniagaan kita di blog orang lain, melakukan posting jualan di forum ataupun menghantar e-mel promosi membuta tuli kepada orang ramai yang tidak meminta maklumat daripada kita.

‘Spamming’ adalah kesalahan perniagaan Internet dari segi etika Internet. Bukan saja ia tidak efektif, tetapi sekiranya dilakukan, ia hanya menjatuhkan kredibiliti si spammer (penghantar maklumat promosi atau pemilik perniagaan yang ingin diuar-uarkan itu). Di Internet, amat susah untuk meningkatkan semula kredibiliti yang sudah jatuh itu!

7. Sering ketinggalan

Internet merupakan medium yang sungguh cepat berubah. Mungkin selepas setahun dua, pelbagai perubahan teknik, strategi dan juga platform sudah berlaku. Sekiranya dulu, Friendster dan Myspace agak popular, tetapi kini Facebook dan Instagram yang mendominasi media sosial. Sekiranya dulu kita hanya melakukan promosi di laman web, kini promosi menggunakan YouTube juga sudah bermula.

Di Internet, sekiranya anda ketinggalan dengan perkembangan teknologi dan platform, anda juga akan ketinggalan dalam cara dan kaedah terbaru untuk mempromosikan perniagaan anda oleh kerana orang ramai akan sering mengikuti perkembangan terbaru.

Dalam memulakan apa saja usaha termasuk perniagaan di Internet, pastinya kita akan melakukan salah dan silap. Tugas kita adalah untuk memperbaiki diri kita dan keadaan serta menganggap pengalaman melakukan salah dan silap itu sebagai peluang mencari ilmu baru.

Walaupun saya kongsikan tujuh kesilapan dalam menjalankan perniagaan Internet, namun kesilapan utama seseorang itu sebenarnya adalah apabila tidak mencuba apa saja idea dan usaha!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 3:08 PM